HomeUtamaEjen pelancongan didakwa cederakan rakan seindustri dengan sabit

Ejen pelancongan didakwa cederakan rakan seindustri dengan sabit

Read Time:1 Minute, 5 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Seorang ejen pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki, yang juga ejen pelancongan, menggunakan sebilah sabit.

Yusuf Ab Nasir, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 36 tahun menggunakan sebilah sabit sepanjang kira-kira sembilan inci berhulu kayu. Kejadian itu berlaku pada 26 Februari 2025, antara jam 6.30 petang dan 7.10 malam, di Jeti Beringgis Mangrove, Kinarut, Papar.

Mahkamah menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin tempatan.

Tertuduh juga diarahkan melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim mengendalikan pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang ejen pelancongan mengalami kecederaan serius selepas dilibas dengan sabit, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai tawaran harga pakej kepada pelancong dari Korea Selatan.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di tangan dan telinga kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Geng pecah rumah aktif di Kota Kinabalu tumpas, empat ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular