Oleh ERDIE AB WAHID
Beaufort: Beberapa buah kenderaan yang diletakkan diperkarangan depan stesen keretapi Beaufort antara yang ditenggelami air berikutan banjir besar yang melanda daerah ini sejak Sabtu lalu.
Tinjauan Sabah Media sekitar Pekan Beaufort mendapati hampir keseluruhan premis perniagaan ditutup dan tidak beroperasi selain semua jalan raya di kawasan pekan berkenaan turut tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Selain itu, beberapa premis perniagaan di tingkat bawah premis turut dimasuki air.
Turut ditenggelami air adalah premis jenis bertiang yang dikenali sebagai bangunan kedai lama yang dibina khas bagi mengelak banjir yang menjadi ciri ikonik Pekan Beaufort.
Bangunan yang berketinggian lebih semeter dari permukaan tanah, paras air banjir akibat limpahan air Sungai Padas kebiasaannya tidak melepasi lantai bangunan.

Bagaimanapun bangunan berkenaan pada kali ini turut digenangi air apabila paras air turut melepasi lantai bangunan bertiang, menggambarkan banjir luar biasa yang melanda daerah ini.
Stesen keretapi yang menghubungkan daerah ini dengan Kota Kinabalu dan kampung di bahagian hulu Sungai Padas turut terjejas selepas air turut memasuki stesen berkenaan. – SABAH MEDIA