HomeUtamaNelayan haram guna bahan letupan ditahan di perairan Semporna

Nelayan haram guna bahan letupan ditahan di perairan Semporna

Read Time:1 Minute, 20 Second

SEMPORNA: Cubaan seorang nelayan haram menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Semporna gagal apabila dia berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna dalam satu operasi khas semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli, berkata operasi khas itu, dikenali sebagai Op Pluto Timur, dijalankan di sekitar perairan Pulau Kalapuan yang terkenal dengan keindahan terumbu karangnya.

“Kira-kira pukul 11.05 pagi, pasukan operasi telah mengesan sebuah bot pam berwarna kuning dan biru yang mencurigakan kerana tidak memiliki nombor pendaftaran.

“Ketika dihampiri, individu di atas bot bertindak melarikan diri ke kawasan perairan cetek bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan, satu kaedah yang diharamkan dibawah Akta Perikanan 1985 kerana merosakkan ekosistem marin dan membahayakan nyawa manusia.

Bot tersebut kemudiannya ditahan dan dibawa ke Jeti Pelancong Semporna untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan mencecah hampir RM5 ribu.

Menurut Amir, kejayaan operasi ini membuktikan ketegasan Maritim Malaysia dalam melindungi sumber laut negara dan memastikan perairan Semporna bebas daripada aktiviti perikanan haram yang mengancam kelestarian alam sekitar.

“Kegiatan penangkapan ikan menggunakan bahan letupan bukan sahaja memusnahkan habitat laut, tetapi juga memberi kesan jangka panjang kepada industri perikanan serta sektor pelancongan yang bergantung kepada keindahan ekosistem marin,” tegasnya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti perikanan haram dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita dapat memastikan sumber marin di Semporna terus terpelihara untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” ujar beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

SOGIP buka peluang pekerjaan besar kepada anak muda Sipitang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular