Beaufort : Keluarga yang terjejas akibat banjir di sini dan di Membakut menerima bantuan kewangan kecemasan sebanyak RM1,300 masing-masing daripada kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata daripada jumlah itu, RM1,000 adalah daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan RM300 daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
Katanya, selain bantuan tunai, setiap keluarga yang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan menerima bantuan makanan.

“Hari ini saya berkesempatan untuk turun melihat sendiri keadaan banjir di kawasan Beaufort ini dan seterusnya untuk berjumpa dengan mangsa-mangsa yang terlibat. Kerajaan Negeri memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir RM1,000 daripada NADMA dan juga RM300 daripada YKS Negeri Sabah berserta bakul makanan kepada semua mangsa-mangsa banjir di PPS ini.
“Kerajaan amat prihatin terutama sekali dalam bulan Ramadan yang mulia ini kerana keadaan kampung mereka yang dilanda dengan banjir tentu mendatangkan sedikit kesusahan dan ketidakselesaan kepada mereka yang terlibat.
“Tetapi syukur Alhamdulillah nampak hari ini cuaca agak baik dan mungkin jawatankuasa bencana di daerah Beaufort ini akan boleh membenarkan mereka pulang ke rumah masing-masing jika keadaan sudah selamat untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa terjejas banjir di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini hari ini.
Tujuh PPS telah dibuka sejak banjir bermula pada 7 Mac, memberikan perlindungan kepada sejumlah 1,944 orang daripada 614 keluarga di sini.
Dalam lawatan itu, Hajiji turut melawat kawasan pekan yang masih ditenggelami air, di mana beliau diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun.
Justeru, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membersihkan semua saluran air, terutamanya longkang-longkang untuk mengurangkan banjir pada musim hujan ini.
Sejurus selepas itu, Hajiji turut melawat melawat PPS Dewan Kesenian Islam, Membakut iaitu salah satu daripada empat PPS yang dibuka di daerah Membakut untuk memberikan bantuan serupa kepada mangsa banjir di sana.
PPS Membakut kini menampung kira-kira 278 keluarga yang terdiri daripada 836 mangsa. – SABAH MEDIA