Putatan: Jalan menghubungkan Kimanis – Keningau yang ditutup sepenuhnya pada Sabtu lalu dijangka akan mengambil masa penutupan selama dua minggu bagi tujuan kerja-kerja pembersihan dan baikpulih.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penutupan laluan berkenaan juga bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan tanah selain keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Jalan Kimanis-Keningau setakat ini masih lagi ditutup kerana ada dua kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan tersebut. Jadi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama konsesi yang menyelenggara laluan tersebut sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan.
“Namun disebabkan oleh keadaan cuaca yang masih lagi tidak menentu, masih hujan turun dan keadaan tanah juga masih basah. Jadi ianya akan mengambil masa, sedikit masa lagi untuk kerja-kerja pembersihan dan mempastikan laluan tersebut selamat digunakan.
“Berdasarkan laporan yang diberikan kepada saya setakat ini, laluan berkenaan dijangka ditutup dalam tempoh dua minggu tapi bergantung kepada keadaan cuaca dan juga pergerakan tanah di laluan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar anjuran Unit Pimpinan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri bagi Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan, d sini semalam.
Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, laluan Beaufort- Sipitang yang turut terjejas dengan banjir sebelum ini telah dapat dilalui selepas JKR membuka laluan sementara diatas tembok tanah di laluan berkenaan.
“Pihak JKR telah melaksanakan Pelan Pengruusan Trafik plan dan telah membuka laluan sementara di atas tembok-tembok tanah. Jadi itu dapat memudahkan kenderaan kecil melalui laluan tersebut.
“Namun ia juga sama seperti Kimanis Keningau bergantung kepada keadaan cuaca kerana air yang masuk ke dalam tapak pembinan tersebut adalah air limpahan daripada sungai yang banjir teruk,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MEDIA SOSIAL