Beaufort : Situasi banjir yang melanda daerah ini sejak Jumaat lalu beransur pulih namun jumlah mangsa yang masih berlindung di Pusat Penempatan Sementara (PPS) masih kekal seramai 1,719 orang melibatkan 556 keluarga setakat jam 12 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 4,530 orang mangsa terjejas banjir di seluruh Sabah.

Selain Beaufort yang mengaktifkan tujuh buah PPS, turut terjejas banjir adalah di Membakut, Sook dan Tenom.
Daerah Keningau yang sebelum ini turut diisytiharkan bencana banjir telah menutup semua PPS yang diaktifkan pada Sabtu lalu.
“Daerah Tenom menjadi daerah kedua tertinggi terjejas banjir apabila seramai 1,119 orang dipindahkan ke 14 buah PPS melibatkan 420 keluarga.
“Manakala di daerah Membakut, seramai 914 orang melibatkan 312 keluarga masih berlindung di lima buah PPS dan seramai 778 orang melibatkan 200 keluarga di Sook turut ditempatkan di tiga buah PPS,” menurut kenyataan itu di sini. – SABAH MEDIA