HomeUtamaAzis tersilap fakta, Warisan sendiri yang pilih untuk melawan PH – Razeef

Azis tersilap fakta, Warisan sendiri yang pilih untuk melawan PH – Razeef

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Pusat merangkap Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Razeef Rakimin menegaskan bahawa Parti Warisan (Warisan) sendiri yang membuat keputusan untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman yang menyatakan sokongan parti itu terhadap kerajaan perpaduan, sambil menyindir Pengarah Komunikasi Nasional PKR, Lee Chean Chung yang menurutnya tidak seharusnya mencampuri urusan parti lain dalam menentukan kerjasama politik.

“Saya mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Azis Jamman mengenai sokongan Warisan terhadap kerajaan perpaduan. Namun, saya ingin memperbetulkan beberapa fakta yang dikemukakan. Warisan sebenarnya adalah pihak pertama yang meninggalkan PH apabila memilih untuk bertanding secara solo pada PRU-15,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurut Razeef, keputusan Warisan untuk bergerak secara sendiri sudah pun bermula sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang menyaksikan semua calon mereka hilang wang deposit. Keyakinan parti itu bahawa mereka mampu memenangi lebih banyak kerusi tanpa PH juga terbukti meleset apabila mereka hanya memperoleh tiga kerusi, selain kehilangan lima kerusi yang disandang termasuk milik Azis Jamman sendiri serta Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking.

Beliau turut mengingatkan bahawa Warisan pernah menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum beralih menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Langkah Sheraton. Namun, sokongan itu didakwa bukan atas dasar kesetiaan, sebaliknya kerana Warisan tidak mempunyai pilihan lain.

“Warisan tidak boleh menuding jari kepada PH seolah-olah PH yang meninggalkan mereka, sedangkan mereka sendiri yang membuat keputusan untuk bertanding melawan PH di Sabah. Malah, Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal, dalam beberapa kenyataan sebelum ini juga dengan jelas menyatakan hasrat untuk menentang PH dalam Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Razeef turut menyentuh insiden ‘Langkah Kinabalu’, di mana Warisan dan Barisan Nasional (BN) didakwa cuba menggugat kerajaan negeri Sabah. Beliau menegaskan bahawa PH memilih untuk berdiri teguh menyokong kerajaan negeri demi kestabilan politik dan pembangunan ekonomi pasca Covid-19.

“PH lebih berminat untuk membangunkan negeri ini berbanding mengambil langkah yang boleh mengganggu kestabilan politik. Oleh itu, Warisan tidak seharusnya menyalahkan PH dalam hal ini,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Alexander puji komitmen Sabah percepat projek Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular