PUTRAJAYA – Wartawan Malaysiakini, B Nantha Kumar, dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat ini atas tuduhan menerima rasuah RM20,000 daripada seorang ejen pekerja asing warga Pakistan.
Menurut laporan Malaysiakini, Nantha dimaklumkan mengenai pendakwaan itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tengah hari tadi.
“Saya yakin akan dibuktikan tidak bersalah. Ini adalah cubaan untuk membungkam saya dan menghalang pendedahan rasuah yang saya lakukan,” kata Nantha dalam kenyataan ringkasnya.
Beliau sebelum ini ditahan SPRM pada 28 Februari lalu sebelum dibebaskan pada 4 Mac selepas direman selama empat hari.
Siasatan terhadap Nantha melibatkan dakwaan bahawa beliau meminta dan menerima wang sebagai balasan untuk tidak menerbitkan dua artikel yang mendedahkan kegiatan sindiket pekerja asing. Namun, wartawan itu menafikan tuduhan tersebut serta dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, bahawa beliau pada asalnya meminta RM100,000 sebelum jumlah itu dikurangkan kepada RM20,000.
Nantha menegaskan bahawa beliau melakukan penyamaran bersama seorang pengarah imigresen negeri untuk membongkar sindiket berkenaan.