Oleh J. EVACHEL JOHN
TAWAU: Seorang penolong pengarah Kastam dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan denda RM15,000 atau 12 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda, selepas didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM3,000.
Hakim Mahkamah Khas Rasuah Jason Juga, hari ini (12 Mac) menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Ab Kassim Ab Kais selepas tertuduh menjalani perbicaraan penuh.
Ab Kassim didapati bersalah meminta suapan daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk melepaskan bot dan enjin milik lelaki tersebut yang telah ditahan oleh pihak Kastam kerana tidak diisytiharkan.
Kesalahan itu dilakukan pada 8 Ogos 2018, sekitar jam 10.30 pagi, di Bilik Ketua Cawangan Perkastaman, Wisma Kastam, Jalan Dunlop, di sini.
Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan, namun mengarahkan tertuduh untuk membayar denda RM15,000 pada hari ini. Tertuduh telah melunaskan bayaran denda tersebut.
Pada September 2020, Ab Kassim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 15 saksi sebelum mahkamah memerintahkan tertuduh untuk membela diri.
Dalam pembelaannya, Ab Kassim merupakan satu-satunya saksi yang memberikan keterangan.
Tertuduh yan diwakili oleh peguam Domini Chew kini ditahan kerja.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee mengendalikan pendakwaan.