Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 63.5 kilogram dadah bernilai RM3 juta.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Sifihi Yusof, 33, dan Sydzreel Fahmy Shamsury, 30, ketika mereka dihadapkan ke hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Mereka didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 63,547.04 gram pada 27 Februari lalu, kira-kira jam 9 malam, di kawasan tempat letak kereta aras bawah pusat membeli-belah ITCC, Penampang.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, mereka dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Lim Chun Yuan, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.
Sebelum ini, Sabah Media melaporkan bahawa polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket dadah dengan merampas syabu seberat 63.55 kilogram, dianggarkan bernilai RM3 juta, dalam satu operasi di daerah Penampang pada 27 Februari lalu.
LINK BERITA TERDAHULU: