HomeUtamaSurau Kg Pintas Asal ceria kembali selepas seminggu sepi akibat banjir

Surau Kg Pintas Asal ceria kembali selepas seminggu sepi akibat banjir

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

BEAUFORT: Selepas hampir seminggu surau Kampung Pintas Asal dekat sini, sepi akibat banjir besar, malam ini suasana berubah sepenuhnya.

Jemaah berduyun-duyun hadir untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan majlis iftar dan solat tarawih.

Keadaan yang kembali normal ini membawa kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini terpaksa menangguhkan aktiviti ibadah mereka.

Menurut Setiausaha surau tersebut, Cikgu Muhammad Hussin Kamaruddin, banjir yang melanda sejak Sabtu lalu menyebabkan banyak laluan ke surau terputus, menjadikan kehadiran jemaah berkurangan.

Malah, pada malam Selasa, katanya, hanya tiga orang sahaja yang sempat hadir untuk solat Maghrib kerana air masih tinggi.

“Itu adalah saat paling suram buat kami, ditambah lagi sempena bulan Ramadan, ini adalah sebahagian daripada ujian kami,” katanya kepada Sabah Media.

Namun, selepas air mula surut pada Rabu, suasana surau kembali hidup. Jemaah yang sebelum ini terkesan akibat banjir mula hadir semula, dan aktiviti surau dapat diteruskan seperti biasa.

Malam ini (15 Mac) menjadi detik istimewa apabila majlis iftar bersama penduduk diadakan, menandakan kembalinya kemeriahan yang dinanti-nantikan.

“Kami sangat gembira kerana keadaan kembali seperti biasa. Melihat surau penuh dengan jemaah malam ini benar-benar menyentuh hati,” tambah Hussin.

Majlis berbuka puasa yang dikelola oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Kg Pintas Asal itu turut menjadi wadah bagi penduduk kampung berkumpul, berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang menghadapi musibah banjir.

Menurut seorang lagi penduduk pesara guru, Salleh Tuah, meskipun surau itu bertiang tinggi dan tidak dinaiki air, jumlah jemaah tetap berkurangan sepanjang tempoh banjir.

“Alhamdulillah, aktiviti di surau dapat diteruskan walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Kini, kami bersyukur kerana semuanya kembali normal,” katanya.

Banjir yang melanda sejak Sabtu lalu menyebabkan banyak rumah penduduk terjejas dan mereka terpaksa berpindah sementara ke pusat pemindahan. Beberapa kawasan masih dalam proses pembersihan, tetapi semangat penduduk untuk kembali beribadah di surau tetap membara.

Dengan kehadiran semula jemaah yang ramai serta penganjuran aktiviti keagamaan seperti biasa, suasana surau Kg Pintas Asal kini kembali ceria.

Penduduk berharap agar tiada lagi musibah yang melanda dan mereka dapat meneruskan ibadah di bulan Ramadan ini dengan lebih tenang.

RELATED ARTICLES
Utama

Alexander puji komitmen Sabah percepat projek Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular