Kota Kinabalu : Keberkatan bulan Ramadan dikongsi bersama golongan asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) ke arah mewujudkan masyarakat yang inklusif.
Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Paiman Abd Karim berkata, selain memberikan bantuan dan sokongan kepada golongan tersebut, penglibatan golongan itu dalam majlis iftar di bulan mulia dapat mengukuhkan ukhuwah serta menyebarkan kasih sayang sesama umat Islam.

Katanya, program kali kelapan itu amat bermakna dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman yang turut menyantuni golongan OKU dan asnaf.
Ia merangkumi pelbagai kategori iaitu berkerusi roda, penglihatan, pendengaran, masalah pembelajaran, asnaf Kelas Al-Quran Anak Istimewa Majlis Bandaraya (Quranis) dan asnaf Majlis Bandaraya.
“Kehadiran Tun Musa amat bermakna dan menjadi penghormatan besar lebih-lebih lagi ia merupakan kali pertama seorang TYT hadir ke majlis kali ini.
“Pada majlis ini, pelbagai kategori OKU akan menerima duit raya untuk menambahkan semangat kebersamaan serta kasih sayang saudara-saudara kita dalam kalangan OKU dan asnaf.
“Ini membuktikan bahawa mereka juga tidak pernah ketinggalan dalam agenda pembangunan negara dan kita sentiasa memberi perhatian dan kasih sayang kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Bersama OKU dan Asnaf Kali Kesembilan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini semalam.
Selain menyampaikan duit raya kepada 320 orang asnaf dan OKU, Tun Musa yang diiringi Paiman dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam turut melancarkan Tabung Iftar Perdana Bersama OKU dan Asnaf Masjid Bandaraya Kota Kinabalu Kali Ke-10 Tahun 2026.
Selesai berbuka puasa, Tun Musa menyertai kira-kira 300 jemaah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih yang diimamkan oleh Ketua Imam Masjid Bandaraya, Ustaz Mohd Zamzuhardi Zakaria Al-Hafiz.
Paling menarik perhatian, majlis inklusif itu turut dikendalikan oleh Jurubahasa Isyarat, Mohd Zulhami Habibi.