Oleh J. EVACHEL JOHN
EKSKLUSIF
KUDAT: Bagi kebanyakan keluarga, cuti sekolah sering dikaitkan dengan percutian ke tempat peranginan atau pusat hiburan.

Namun, bagi keluarga Eaxter Jamalun, mereka memilih untuk menghabiskan masa bersama di sawah padi, meneruskan tradisi turun-temurun masyarakat Rungus yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Menurut Eaxter, 25, seorang guru tadika yang berasal dari Kampung Andab Bangau, Kudat, aktiviti bersawah bukan sahaja memastikan bekalan beras untuk keluarga sentiasa mencukupi, tetapi juga menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Dulu, saya membesar dengan membantu ibu bapa di sawah padi. Saya masih ingat, selepas balik dari tadika, petang saya terus turun ke sawah.
“Saya juga pernah ‘gumaji’ (bekerja) dengan pakcik dan makcik saya yang menanam padi. Waktu itu, tugas saya mencabut benih padi, dan terima ‘su’ul’ (upah) 10 sen bagi setiap ikatan padi, yang mengandungi 30 rumpun anak pokok,” imbasnya kepada Sabah Media.
Kini, setiap kali mempunyai kesempatan terutamanya pada musim cuti sekolah, Eaxter masih membantu ibu bapanya bekerja di sawah.


“Ia sudah menjadi kebiasaan keluarga kami. Semua ahli keluarga yang berada di rumah akan turun ke sawah, dari menanam benih, memindahkan anak padi, hingga menuai hasil.
“Yang bekerja jauh pun, jika ada kesempatan seperti cuti Hari Raya pada tahun ini, pasti akan turut serta. Tiada paksaan, semuanya sukarela turun ke sawah. Kami seronok kerana suasana mengingatkan kami pada kenangan zaman kanak-kanak,” katanya.
Tanam padi guna kaedah tradisional
Menurut Eaxter, keluarganya yang berketurunan etnik Rungus masih mengekalkan cara tradisional dalam menanam padi.
“Kami mulakan dengan proses ‘momibit’, iaitu menanam benih menggunakan alat yang dipanggil ‘titindok’. Selepas sebulan, kami akan ‘mananom parai’ (menanam anak padi) yang melibatkan proses anak padi dicabut dan dipindahkan ke sawah,” jelasnya.
Selepas lebih dua bulan, padi mula dituai ‘mongorob’. Batang padi dipotong menggunakan ‘kokorob’ (sabit padi) sebelum dikumpulkan di satu tempat.
Kemudian, proses ‘palapos’ dilakukan untuk memisahkan padi daripada jerami, sebelum ia dijemur dalam proses ‘posidang’ bagi mengelakkan padi berkulat atau menjadi hitam.
“Selain itu, ada satu lagi cara menuai yang kami panggil ‘mongomot’. Ia menggunakan alat tradisional dipanggil ‘linggaman’, khusus untuk kawasan yang hasilnya sedikit akibat serangan perosak seperti burung pipit dan tikus.”
Selepas ‘mongomot’, proses pemisahan padi dari jerami dilakukan menggunakan teknik ‘mangaladtak’, di mana padi dipijak dengan kaki.
Untuk menghasilkan beras pula terdapat dua cara sama ada menggunakan mesin moden atau kaedah tradisional dengan ‘tomutu’ (menumbuk padi) menggunakan ‘tonsung’ (lesung) dan ‘goholu’ (alu).
“Banyak lagi proses sebenarnya. Contoh sebelum menumbuk padi, kami akan ‘monilib’ untuk mengasingkan padi yang ada isi dan tiada isi. Lepas ‘tumutu’, ada lagi proses ‘mangatap’ untuk mengasingkan beras dan padi yang masih mempunyai kulit, kemudian ‘moniri’ untuk mengasingkan beras yang tidak hancur dan beras yang hancur. Semua ini dilakukan secara manual dan memerlukan kesabaran,” katanya.
Bagi Eaxter, dia bersyukur merasai pengalaman itu kerana membuatnya lebih menghargai makanan dan memahami kepayahan petani.
“Kami berharap kaedah tradisional ini dapat diteruskan agar tidak hilang ditelan zaman. Kaedah ini merupakan kearifan tempatan masyarakat Rungus yang diwarisi sejak zaman dahulu sebagai cara untuk meneruskan kehidupan,” katanya.