Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Empat warga asing dijatuhi hukuman penjara manakala dua lagi didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan tinggal lebih masa di Sabah.
Kesemua tertuduh iaitu Siti Hajar Barek Luli, Abdullah Samauddin, Ikram Bahila Abbin, Damin Ismail, Jerson Rojas Tagalon, dan Josephine De Asis Dayagdag mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Siti Hajar dan Abdullah masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati tinggal lebih masa selama lebih empat tahun.
Pas Lawatan Kerja Sementara mereka yang dikeluarkan pada 19 September 2020, hanya sah sehingga 17 September 2020. Kedua-duanya ditahan pada 12 Mac 2025 di sebuah rumah pekerja di Kampung Keliangau, dekat sini.
Sementara itu Ikram dan Damin dijatuhi hukuman penjara enam bulan.
Ikram ditahan pada 12 Mac 2025 di sebuah bilik sewa di Papar. Pas Lawatan Kerja Sementara miliknya hanya sah sehingga 1 Mei 2024, menyebabkan dia tinggal lebih masa selama 10 bulan 11 hari.
Damin pula ditahan pada 12 Mac di rumah kongsi pekerja di Pekan Ranau setelah didapati Pas Khas miliknya hanya sah sehingga 10 Oktober 2024. Tertuduh telah tinggal lebih masa selama lima bulan dua hari.
Dua lagi tertuduh, Jerson Rojas Tagalon dan Josephine De Asis Dayagdag masing-masing didenda RM10,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Pas Lawatan Kerja Sementara mereka tamat pada 24 Disember 2024, dan mereka ditahan di sebuah pusat refleksologi dan terapi di Lintas Square setelah tinggal lebih masa selama dua bulan 18 hari.
Jerson dan Josephine telah membayar denda.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Baxter Junior Goh dan Norizan Awang Tanda, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.