HomePendapatPenilaian Semula Tuntutan Baharu Kesultanan Sulu terhadap Sabah: Hujahan Penolakan Awal

Penilaian Semula Tuntutan Baharu Kesultanan Sulu terhadap Sabah: Hujahan Penolakan Awal

Read Time:4 Minute, 44 Second

Oleh Marja Azlima Omar (Pensyarah Kanan, Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah)

Pada April 2025, Kesultanan Sulu telah mengumumkan hasratnya untuk mengemukakan beberapa siri perjanjian bersejarah, termasuk pakatan ufti abad ke-15 dengan China dan Perjanjian Carpenter-Kiram 1915, sebagai asas kepada tuntutan wilayah dan ganti rugi bernilai USD25 bilion terhadap Malaysia berkait dengan Sabah. Tuntutan yang terkini ini jelas memperlihatkan satu interaksi yang rumit antara undang-undang antarabangsa moden, diplomasi budaya dan warisan sejarah. 

Oleh itu, penulisan ringkas ini bertujuan menilai kesahihan tuntutan-tuntutan tersebut melalui perspektif undang-undang antarabangsa, dengan memberi tumpuan kepada tafsiran perjanjian, Prinsip Kawalan Efektif (Principle of Effective Control), dan piawaian kedaulatan semasa.

Memandangkan Kesultanan Sulu berhasrat untuk menghidupkan semula status sejarah dan tuntutan kedaulatannya dengan merujuk kepada perjanjian lama serta jalinan kerjasama dengan Kesultanan-kesultanan di Mindanao, tuntutan seperti ini wajar diteliti kesahihannya menurut piawaian undang-undang antarabangsa dan ketepatan sejarah. Dengan meneliti tindan-lapis antara perjanjian sejarah dan kerangka undang-undang moden, analisis ringkas ini menonjolkan sifat simbolik kedudukan Kesultanan serta jurang antara naratif warisan dan mekanisme semasa bagi menyelesaikan tuntutan wilayah yang bertindih.

Pertama sekali, adalah penting untuk ditekankan bahawa teras kepada hujahan Kesultanan Sulu kali ini ialah perjanjian dengan Dinasti Ming pada tahun 1405. Berdasarkan hujahan tersebut, bukti status kewujudan Kesultanan Sulu dipaparkan sebagai “negara ufti merdeka.” (“independent tributary state”) Walaupun hubungan ufti merupakan norma diplomatik dalam sejarah Empayar China hubungan sedemikian tidak sama sifat dan tarafnya dengan hubungan sesama entiti berdaulat seperti negara/state yang mempunyai personaliti undang-undang dalam sistem perjanjian moden masa kini. 

Marja Azlima Omar

Sebaliknya, hubungan tersebut adalah bersifat hierarki dan ritual semata-mata, dan ianya berfungsi untuk mengekalkan keharmonian dalam hubungan dua hala dan kelangsungan perdagangan. Tuntasnya, hubungan tersebut tidak mewujudkan hak-hak yang boleh dikuatkuasakan atau menjadi asas kepada tuntutan wilayah.

Walaupun Presiden China, Xi Jinping mengiktiraf hubungan tersebut semasa sambutan ulang tahun ke-600 kemangkatan Raja Timur Sulu pada tahun 2017, pengiktirafan sedemikian ternyata cirinya simbolik tanpa sebarang pengiktirafan undang-undang. Ini bermakna, pengiktirafan yang diberikan oleh Presiden Xi Jinping bukanlah satu bentuk pengiktifan undang-undang (legal endorsement) ke atas hak kewilayan dalam kerangka undang-undang antarabangsa kontemporari. Dalam erti kata lain, hubungan China-Sulu pada tahun 1405 adalah merupakan satu hubungan simbolik diplomatik pada ketika itu.

Kedua, kepentingan Perjanjian Carpenter-Kiram 1915 dalam hal ini juga tidak boleh dipandang remeh. Ini adalah kerana perjanjian tersebut dimentarai bagi menandakan perubahan penting dalam sifat dan peranan Kesultanan Sulu, iaitu daripada kuasa pemerintahan kepada institusi keagamaan dan kebudayaan di bawah perlindungan kolonial Amerika. Ini bermaksud Perjanjian Carpenter-Kiram 1915 merupakan satu fasa dalam peralihan pentadbiran kolonial. Walaupun Sultan masih mengekalkan pengaruh dan mempunyai autoriti dalam hal-ehwal upacara agama dan adat istiadat serta tradisi, kuasa pentadbiran dan kedaulatan telah dipindahkan kepada Amerika Syarikat. Perjanjian tersebut tidak mengiktiraf sebarang tuntutan wilayah yang boleh dikuatkuasakan ke atas Sabah. 

Malah, Sabah tidak termasuk dalam perjanjian itu kerana pada ketika itu Sabah telah pun berada di bawah pentadbiran Syarikat Borneo Utara British. Apa yang boleh ditegaskan di sini ialah Perjanjian Carpenter-Kiram 1915 itu lebih merupakan satu dokumen sejarah pengukuhan empayar dan tidak memadai untuk dijadikan asas sah bagi tuntutan wilayah dewasa ini.

Ketiga, adalah mustahak untuk menjelaskan bahawa asas tuntutan Kesultanan Sulu yang terbaharu menekankan hubungkait antara kedaulatan, Prinsip Kawalan Efektif (Principle of Effective Control) dan Prinsip Penentuan Nasib Sendiri (Principle of Self Determination). Salah satu prinsip utama dalam undang-undang antarabangsa ialahPrinsip Kawalan Efektif , dan dalam hal ini, Malaysia telah mentadbir Sabah secara berterusan sejak pembentukannya pada tahun 1963. 

Pemerintahan de facto ini diperkukuhkan melalui penglibatan rakyat Sabah dalam Persekutuan Malaysia menerusi referendum. Penyertaan ini mengukuhkan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah tersebut. Sejak penubuhannya, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi-resolusi Perhimpunan Agung telah secara konsisten menyokong perlaksanaan hak untuk penentuan nasib sendiri (self-determination rights). Rakyat Sabah telah dengan jelas melaksanakan hak ini, dan keputusan mereka untuk menyertai Malaysia membawa implikasi undang-undang yang lebih signifikan dan berwibawa berbanding tuntutan berdasarkan perjanjian bersejarah yang dikemukakan oleh Kesultanan Sulu. Pendek kata, tuntutan tersebut tidak mencapai piawaian dan menepati ruang-lingkup bidangkuasa undang- undang antarabangsa moden.

Akhir sekali, perlu ditegaskan bahawa piagam perpaduan baharu Kesultanan-Kesultanan di Mindanao adalah sebenarnya suatu bentuk kesedaran kebangkitan budaya, dan bukannya instrumen yang mempunyai ikatan undang-undang. Piagam yang ditandatangani oleh Kesultanan Sulu, Maguindanao dan Rajaan Buayan mencerminkan solidariti budaya dan sejarah yang penting dalam kalangan pemimpin tradisional Mindanao. 

Walaupun ia mungkin mempunyai kepentingan sosiopolitik dalam komuniti tertentu, perjanjian sedemikian tidak mempunyai kesahan dan autoriti undang-undang dalam undang-undang antarabangsa kecuali ianya diiktiraf oleh negara berdaulat atau organisasi antarabangsa yang diwujudkan melalui perjanjian seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kebangkitan semula rangkaian diraja ini, meskipun signifikan untuk pemeliharaan warisan, namun kewujudannya tidak akan dapat diterjemahkan sebagai diplomasi antara negara atau mempunyai kedudukan dan personaliti undang-undang di PBB mahupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Tuntutan baharu Kesultanan Sulu terhadap hak wilayah ke atas Sabah adalah berdasarkan perjanjian pra-kolonial dan awal abad ke-20. 

Namun begitu, perjanjian-perjanjian ini tidak mempunyai asas kukuh dalam undang-undang antarabangsa moden. Perjanjian yang dirujuk sama ada bersifat simbolik atau hanya membawa implikasi kolonial yang sudah berlalu dan tidak boleh diterjemahkan kepada suatu instrumen undang-undang yang berautoriti di bawah undang-undang antarabangsa moden. 

Sebaliknya, pentadbiran Malaysia yang berterusan ke atas Sabah dan pelaksanaan hak penentuan nasib sendiri oleh penduduk wilayah tersebut membawa asas undang-undang yang jauh lebih kukuh di bawah norma antarabangsa. 

Sebarang usaha yang kredibel untuk menilai semula atau menyelesaikan persoalan Sabah perlu melibatkan mekanisme undang-undang dan kerangka geopolitik semasa, dan bukannya bersandarkan kepada tuntutan lapuk yang berpunca daripada kedaulatan yang telah lama luput.

RELATED ARTICLES
Pendapat

RAER 2025-2030 : Pemangkin transformasi ekonomi luar bandar Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular