KOTA KINABALU: Harga pasaran hartanah di Sabah dijangka meningkat antara 10 hingga 15 peratus pada suku kedua tahun ini susulan tindakan pemaju mengimbangi kenaikan kos bahan binaan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, trend inflasi terhadap bahan binaan utama seperti simen, batu bata, baja dan kayu mencatatkan lonjakan ketara sejak awal tahun ini.
“Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan simen naik sebanyak 15 peratus, baja 20 peratus, batu bata 12 peratus dan kayu pula meningkat 10 peratus sejak Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Tambahnya, pasaran hartanah di Sabah yang sedia mahal dijangka terus meningkat akibat sentimen kenaikan harga bahan mentah serta kesan daripada penyempitan rantaian bekalan global.
Jelas Masiung, kos pengangkutan dan logistik turut menjadi faktor penyumbang terutama melibatkan proses penukaran kapal dagang di Pelabuhan Klang sebelum ke Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut itu berkata, situasi ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, pemaju, pembekal dan pembeli.
“Sebagai contoh, subsidi kerajaan terhadap bahan binaan tertentu mungkin boleh membantu menstabilkan harga dalam jangka masa pendek.
“Namun begitu, penetapan harga siling oleh kerajaan berisiko menyebabkan pemaju mengecilkan skop projek demi menyesuaikan kos, dan ini boleh menjejaskan kualiti serta keselamatan pembinaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan tiga faktor utama mendorong peningkatan harga bahan binaan ketika ini iaitu penyempitan rantaian global, peningkatan permintaan projek mega dan kenaikan kos tenaga buruh.
Sehubungan itu, Masiung mengingatkan kerajaan supaya tidak mengenakan sebarang cukai baharu terhadap industri pembinaan kerana ia berpotensi melonjakkan lagi kos hartanah dan bangunan komersial di Sabah.