Oleh FLORIETA DIET
SEPANGGAR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera berhubung isu gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlarutan selama seminggu baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya telah berhubung secara langsung dengan Jabatan Air Sabah untuk memastikan masalah tersebut ditangani dengan segera, khususnya dengan memberi keutamaan kepada keperluan warga kampus UMS yang telah kembali menjalani sesi pengajian.
“Bekalan air di kampus itu terjejas apabila berlaku peningkatan penggunaan air mendadak semasa perayaan Hari Raya dan acara-acara tertentu, ia memberi kesan terus kepada UMS. Saya telah minta supaya isu catuan ini dilihat kembali dan UMS diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menghadiri Majlis Jalinan Ukhuwah Aidilfitri bersama agensinya dan kerjasama Parlimen Sepanggar serta DUN Inanam.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai pelajar UMS terpaksa menadah air hujan selepas seminggu bekalan air di kampus itu terjejas.
Telaga tiub yang telah dibina di kampus itu juga tidak dapat menampung ratusan penghuni kampus.
Dalam masa yang sama beliau juga menyeru ibu bapa dan pelajar di seluruh Sabah untuk merebut peluang menghadiri program ‘JOM Masuk U’ yang akan berlangsung di dua lokasi utama bulan ini dan hadapan.
Program tersebut dijadualkan pada 19 dan 20 April di Sandakan, serta 10 dan 11 Mei di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.
Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar lepasan sekolah mengenai pelbagai kursus pengajian tinggi yang ditawarkan oleh institusi awam dan swasta di seluruh negara.
“Kita mahu semua warga Sabah, terutama dari kawasan Sepanggar, datang ke program ini dan melihat sendiri apakah kursus yang sesuai untuk anak-anak mereka,” katanya.
Menurut beliau, antara tumpuan program kali ini adalah untuk membantu pelajar dari golongan B40, dengan pelbagai insentif yang disediakan bagi memudahkan akses kepada pendidikan tinggi. – SABAH MEDIA