Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah tidak akan menjejaskan sistem saliran sedia ada.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata kementeriannya telah mengutamakan langkah mitigasi banjir dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan projek, supaya ia tidak memberi kesan negatif kepada sistem saliran dan keadaan banjir di kawasan terlibat.
“Beberapa usaha telah dilaksanakan sejak peringkat awal perancangan projek. Antaranya, reka bentuk jajaran Lebuhraya Pan Borneo telah melalui proses penilaian yang teliti dan mendapat kelulusan daripada agensi Kerajaan yang berkaitan, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah.
“Rekabentuk pembetung juga telah diambil kira berdasarkan 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI) mengikut standard garis panduan MSMA yang dikeluarkan oleh JPS Malaysia.
“Selain daripada itu, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD) Sabah turut memainkan peranan penting termasuklah kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan simulasi banjir yang dijalankan sebelum pelaksanaan projek,” katanya ketika sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Daud Yusof (Warisan-Bongawan) yang ingin mengetahui usaha kerajaan dalam mengelakkan banjir di kawasan rendah, khususnya melibatkan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.
Limus menjelaskan reka bentuk lebuh raya itu turut mengambil kira simulasi banjir bagi memastikan pembinaan lebuhraya tidak menyebabkan perubahan ketara dalam aliran air dan sistem saliran sedia ada.
“Pendekatan ini memastikan agar banjir tidak menjadi lebih buruk akibat projek pembinaan ini,” katanya.
Tambahnya, kementerian telah mengambil langkah inovatif dengan merekabentuk jalan bertingkat di daerah Beaufort yang mana sering terjejas dengan banjir ketika musim hujan.
“Dengan adanya jalan bertingkat ini, aliran air hujan tidak akan terhalang oleh laluan lebuhraya yang dapat mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya. Langkah ini juga diambil bagi mengurangkan impak banjir terhadap kawasan sekitarnya,” ujarnya.
Sepanjang fasa pembinaan, Limus berkata, beberapa langkah telah dilaksanakan untuk mengurangkan impak banjir, termasuk penyelenggaraan saliran perparitan sementara dan baharu serta penambahbaikan reka bentuk perparitan.
Katanya, sepanjang tempoh pembinaan, kontraktor bertanggungjawab menyelenggara sistem saliran sementara dan baharu bagi memastikan ia kekal berfungsi dan tidak tersumbat.
“Pasukan projek turut memperkemaskan reka bentuk asal sistem saliran berdasarkan keadaan sebenar di tapak bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir.
“Pihak Kementerian menyedari bahawa penyelesaian terhadap masalah banjir tidak hanya bergantung kepada langkah-langkah mitigasi dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sahaja.
“Oleh yang demikian, dalam menangani isu yang berada di luar sempadan projek Pan Borneo, tindakan bersepadu daripada pelbagai agensi berkaitan akan dipergiatkan,” jelas beliau lagi.