Kota Kinabalu: Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah lebih RM2 juta bagi tahun kewangan 2024 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Majlis penyerahan zakat tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Mohd Na’im berkata, penyerahan zakat itu mencerminkan komitmen TH dalam menyantuni serta memastikan zakat korporat diagihkan secara berkesan kepada golongan yang berhak menerimanya.
“Zakat yang disalurkan ini diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf melalui pengurusan agihan yang telus oleh pihak MUIS.

“TH akan terus menyokong usaha ini bagi memperkasakan kebajikan masyarakat Islam, khususnya di Sabah,” katanya ketika ditemui di Istana Seri Kinabalu di sini, semalam.
Na’im berkata, kunjungan hormat berkenaan bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Musa bagi merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 11 Ogos depan.
Katanya, konvokesyen itu akan menjadi yang pertama diadakan di luar kampus IPDAS yang akan didahului dengan penganjuran Forum Perdana Hal Ehwal Islam pada malam sebelumnya.
Mengulas mengenai persiapan bagi musim haji tahun ini, beliau berkata jemaah dari Sabah dijangka memulakan penerbangan ke Tanah Suci mulai 17 Mei ini.
“Malaysia telah menerima kuota rasmi jemaah haji sebanyak 31,600 orang, manakala permohonan bagi kuota tambahan masih dalam pertimbangan Kerajaan Arab Saudi.
“Setakat ini, lebih 85,000 rayuan telah diterima daripada rakyat Malaysia yang ingin menunaikan haji. Kita berharap agar kuota tambahan dapat diluluskan bagi memberi ruang kepada lebih ramai jemaah yang menunggu giliran,” katanya.
Hadir sama, Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak Datuk Nurlaila Said serta rombongan.