Kota Kinabalu : Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah berusaha untuk mempercepatkan pembaikan jambatan sementara dan menyiapkan jambatan kekal Sungai Bawang KM2.00 di Jalan Tamparuli Togop Tuaran agar dapat digunakan oleh orang awam dengan lebih selesa dan selamat.
Pengarah JKR Sabah Datuk Philemon Lajawai berkata, pihaknya akan memastikan kualiti jambatan kekal yang dibina adalah terjamin.
Katanya, pihaknya turut mengambil maklum persoalan orang awam berhubung status projek menaiktaraf Jambatan Sungai Bawang, KM2.00 Jalan Tamparuli Togop, Tuaran yang tular di media sosial pada 15 April lalu.
“Projek jambatan yang dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini telah bermula pada 25 Mac 2024 dan tarikh siap asal mengikut kontrak adalah pada 24 September 2025.
“Perolehan kontraktor ini dibuat secara Tender Terbuka dan Kontraktor Bayuwira PLT merupakan kontraktor yang telah berjaya mendapatkan tender ini.

“Pada 30 Jun 2024 lalu, bencana banjir berlaku menyebabkan jambatan sedia ada musnah disebabkan arus air sungai yang besar dan deras,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Susulan itu, Philemon berkata, pihak kontraktor telah membina jambatan sementara yang dijadikan laluan utama sepanjang tempoh projek pembinaan jambatan kekal yang akan dibina di jajaran asal jambatan sebelumnya.
Katanya, pihak kontraktor juga perlu sentiasa berada di tapak untuk memastikan jambatan sementara tersebut sentiasa dapat dilalui oleh orang awam dibawah kontrak ini.
“Namun demikian, kejadian hujan lebat dan banjir pada 14 April lalu telah menghanyutkan separuh daripada jambatan sementara tersebut dan menyebabkan jalan terputus.
“Pembaikan semula jambatan sementara dijangka akan siap pada 27 April ini, bergantung pada keadaan cuaca dan situasi semasa di tapak,” katanya.
Bagaimanapun, Philemon berkata, dakwaan menyatakan penggunaan cerucuk yang tidak mematuhi spesifikasi dan sepatutnya menggunakan cerucuk ‘ready-made’ adalah tidak benar.
Katanya, cerucuk yang digunakan di tapak adalah jenis ‘Micropile’ seperti yang tertera pada dokumen kontrak dan lukisan pembinaan.
“Kemajuan projek terkesan disebabkan terdapat isu teknikal yang perlu dipatuhi dan telah pun diselesaikan pada 25 Mac 2025.
“Pihak kontraktor telah dibenarkan meneruskan kerja di tapak dan menyediakan ‘recovery plan’ agar projek disiapkan seperti pada tarikh siap asal,” katanya. – SABAH MEDIA