TONGOD: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Kinabatangan menerima tamparan hebat apabila Ketua Bahagiannya, Laising Podok, mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Laising yang juga Ketua Penyelaras PKDM Kuamut menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah dalam Majlis Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kuamut yang berlangsung di Dewan Kampung Sogo-Sogo, Sabtu lalu.
Menurut Laising, keputusan itu dibuat selepas beliau hilang keyakinan terhadap perjuangan PKDM, walaupun telah mengetuai parti berkenaan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama dua tahun.
“Saya percaya Gagasan Rakyat adalah platform lebih mantap untuk memperjuangkan nasib rakyat di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laising, yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kuamut dari 2015 hingga 2019, menerima tepukan gemuruh daripada lebih 300 penyokong GRS sejurus dipakaikan baju rasmi parti itu di atas pentas.
Beliau turut memaklumkan satu lagi majlis kemasukan beramai-ramai ahli PKDM Kinabatangan ke dalam Gagasan Rakyat akan diadakan sebelum Pilihan Raya Negeri ke-17.
Sementara itu, Masiung turut menerima borang keahlian daripada 112 individu yang diketuai Micheal Tamoi, sebagai ahli baharu Gagasan Rakyat dalam majlis yang sama.