Oleh Normimie Diun
PAPAR: Usaha memperkasa pembangunan ekonomi dan sosial di daerah Papar terus diperkasakan dengan perasmian Majestic Ballroom di Parklane City, Benoni, di sini, hari ini. (28 April)
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. Turut hadir ialah Pemaju Parklane City dan Pengarah Urusan WSG Group, Datuk Susan Wong, Ketua Pegawai Eksekutif 10 Star Cinema Sdn Bhd Onn Norshal Hamzah dan Pelakon, Pengarah, Penulis dan Penerbit televisyen Malaysia, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata pembukaan Majestic Ballroom, yang beroperasi seiring dengan 10 Star Cinemas, akan memberi alternatif baharu kepada masyarakat setempat untuk penganjuran pelbagai acara seperti majlis perkahwinan dan program-program komuniti.
“Saya amat mengalu-alukan inisiatif ini. Kehadiran Majestic Ballroom melengkapkan ekosistem kemasyarakatan dan hospitaliti di Papar. Ia menyediakan pilihan venue yang lebih dekat dan kos efektif berbanding penganjuran acara di Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis tersebut.
Menurut beliau, fasiliti seperti ini juga menjadi pemangkin penting dalam usaha membangunkan Papar sebagai hab pelancongan baharu di Sabah.
“Dalam membangunkan sektor pelancongan, kita tidak boleh hanya bergantung kepada produk pelancongan semata-mata. Ia perlu dilengkapkan dengan ekosistem yang merangkumi kemudahan penginapan, penganjuran acara, makanan dan minuman serta hiburan. Majestic Ballroom, bersama-sama pembangunan hotel bertaraf lima bintang seperti InterContinental Resort di Melinsung dan projek hotel di Kinarut, melengkapkan usaha ini,” jelasnya.
Armizan turut menyatakan bahawa dengan adanya kemudahan seperti ini, pelbagai pihak termasuk usahawan kecil setempat akan mendapat manfaat, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan seperti katering, hiasan majlis, penyewaan peralatan dan lain-lain.
Selain itu, beliau menekankan bahawa kewujudan 10 Star Cinemas di Papar juga membuka peluang untuk memperkasa industri kreatif dan seni di Sabah.
“Sabah memiliki bakat dan keindahan alam semula jadi yang telah menarik perhatian penggiat filem. Kehadiran panggung wayang ini memberi ruang kepada pembangunan industri kreatif tempatan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Susan berkata pembukaan Majestic Ballroom selepas setahun pelancaran rasmi 10 Star Cinemas adalah satu pencapaian besar untuk Parklane City dan komuniti sekitarnya.
“Dengan adanya ballroom ini, masyarakat Papar kini mempunyai kemudahan untuk menganjurkan majlis seperti perkahwinan dan pelbagai acara lain tanpa perlu ke Kota Kinabalu. Ballroom ini boleh memuatkan sehingga 50 meja untuk majlis besar, dan sebuah bilik kecil yang boleh menampung 15 meja untuk acara lebih sederhana,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan ini dijangka menarik lebih ramai pelabur dan peniaga ke Parklane City, terutamanya dengan pembukaan Lebuhraya Pan Borneo yang bakal meningkatkan akses ke kawasan itu.
“Ini bukan sahaja berita baik untuk pemilik kedai dan pembeli rumah di Parklane City, tetapi juga akan merancakkan ekonomi setempat dan menjadikan Benoni, Papar sebagai lokasi yang semakin berkembang maju,” ujarnya.