Oleh Normimie Diun
PAPAR: Semua pihak perlu menghormati komitmen asal dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tanpa menjadikan model politik pusat sebagai kewajipan untuk diikuti di negeri-negeri, termasuk Sabah, tegas Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang akan diadakan perlu difahami dalam konteks politik tempatan yang berbeza daripada situasi politik di Semenanjung Malaysia.
“Kita kena clear (jelas), pertama ini pilihan raya negeri, bukan pilihan raya umum. Lanskap politik di setiap negeri berbeza. Johor ada keunikan dia, Sarawak ada keunikan dia, dan begitu juga Sabah. Jadi kita juga perlu menghormati keunikan politik di Sabah, tanpa memaksakan model politik Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Majestic Ballroom di 10 Star Cinemas, Parklane City Benoni di sini, hari ini.
Menurut Armizan, Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada tahun 2022 hanya melibatkan komitmen semua pihak untuk membentuk dan mengekalkan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat sehingga akhir penggal, tanpa mensyaratkan formula politik yang seragam di peringkat negeri.
“Tiada dalam MoU disebut bahawa model kerajaan Persekutuan mesti diikuti di negeri. It’s just a federal cooperation (Ia hanyalah kerjasama di peringkat persekutuan). Jadi kita janganlah cuba mendahului rakyat, impose (memaksakan) apa yang rakyat perlu pilih,” katanya.
Armizan menambah, kerjasama politik antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) Plus di Sabah adalah hasil daripada rundingan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, dan kini menjadi model kerjasama di negeri ini.
“Inilah komposisi kerajaan perpaduan di Sabah yang wujud selepas pembentukan kerajaan Persekutuan – GRS-PH Plus. Sebarang perbincangan tentang kerjasama mesti bermula dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri hari ini,” katanya sambil menyatakan persetujuan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Bagi Armizan, sebarang bentuk kerjasama politik hanya akan berjaya sekiranya berdasarkan saling memahami dan kesediaan bersama.
“Bagi saya simple (mudah). Kalau mahu bekerjasama, memang mesti ada mutual understanding (saling memahami). Kalau ada pihak tidak mahu bekerjasama, tiada masalah. Kalau mahu bekerjasama, kita bekerjasama. Kalau tidak mahu, kita bergasaklah (bertarung). Sekarang pun tiap-tiap hari kita digasak,” katanya berseloroh.
Armizan turut mengingatkan bahawa GRS-PH Plus telah berdepan pelbagai tekanan politik sejak dua tahun lalu namun kekal utuh demi kestabilan pentadbiran negeri.
Dalam masa yang sama, beliau menghargai peranan PH Sabah yang mempertahankan kepimpinan Hajiji ketika perubahan politik besar berlaku di peringkat pusat.
“Kita harus menghargai komitmen PH yang membantu memastikan Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri. Mereka datang secara sukarela atas dasar kestabilan, bukan kerana dipaksa,” katanya.
Armizan turut menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sebagai pemimpin yang benar-benar berusaha mengembalikan hak Sabah dan Sarawak.
“Kalau mahu dibandingkan, apa yang dibuat Anwar Ibrahim hari ini bukan sekadar prihatin atau beri peruntukan, tetapi beliau merintis usaha mengembalikan hak Sabah dan Sarawak. Banyak perkara yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini, Anwar yang buat,” katanya.
Beliau berkata, jika perlu, beliau bersedia membentangkan secara terperinci pencapaian Anwar berbanding pentadbiran sebelum ini.
“Kalau mahu tahu apa Anwar buat, saya boleh buat special session (sesi khas) satu persatu, comparison (perbandingan),” katanya.
Sehubungan itu, katanya, GRS bersikap terbuka untuk meneruskan kerjasama sedia ada bersama PH Plus di Sabah demi meneruskan perjuangan membina negeri dan menjaga kesejahteraan rakyat.