HomeUtamaLelaki disyaki pecah rumah ibadat ditahan, pelbagai barangan dirampas

Lelaki disyaki pecah rumah ibadat ditahan, pelbagai barangan dirampas

Read Time:1 Minute, 27 Second

PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah ibadat di sekitar Daerah Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek ditahan di hadapan sebuah hotel di Daerah Tuaran, dalam satu operasi yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota BSJD Penampang.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam empat kes pecah rumah ibadat (masjid) di sekitar Putatan melibatkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM3,250.

“Kejadian berlaku antara 15 hingga 27 April 2025 di empat buah masjid berasingan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, semasa tangkapan, pihak polis turut merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Kota Kinabalu, dipercayai digunakan suspek dalam menjalankan aktiviti jenayah.

“Pemeriksaan lanjut di kediaman suspek membawa kepada penemuan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pecah rumah, selain sejumlah wang tunai,” katanya.

Sammy berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah, Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dalam bangunan, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.

Jika sabit kesalahan, katanya, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kes pecah rumah, serta penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat bagi kes mencuri dalam bangunan. Bagi kesalahan dadah pula, suspek boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan BSJD Penampang dalam membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.

RELATED ARTICLES
Utama

Jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular