Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Semua agensi di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diingatkan supaya sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dengan memastikan setiap aduan rakyat diselesaikan segera.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata langkah itu selaras dengan peranan agensi dan PBT sebagai penyampai perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, sebarang isu yang berada dalam bidang kuasa agensi dan PBT perlu ditangani dengan pantas tanpa perlu menunggu arahan lanjut, demi menjaga kebajikan rakyat dan meningkatkan keyakinan terhadap perkhidmatan awam.
“Saya ingin mengingatkan semua untuk memberikan perkhidmatan terbaik. Pastikan aduan dan permasalahan yang timbul diselesaikan sebaik mungkin, dengan cekap dan penuh tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan anjuran KKTP di Lobi Wisma Innoprise di sini, semalam.
Dr. Joachim berkata, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung baru-baru ini berfungsi sebagai platform penting untuk menilai pelaksanaan fungsi dan tanggungjawab kementerian, agensi serta PBT.
Katanya, sidang itu bukan sahaja medan ‘check and balance’, malah peluang untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai isu-isu semasa di lapangan yang menuntut setiap pegawai melaksanakan tugas dengan cekap dan berintegriti.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja KKTP, agensi dan PBT atas komitmen yang telah ditunjukkan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Tugas kita dinilai oleh rakyat. Setiap tindakan dan keputusan yang kita buat harus mencerminkan integriti, ketulusan dan profesionalisme sebagai penjawat awam,” katanya.
Dr. Joachim turut mengingatkan bahawa kejayaan kementerian bukan bergantung kepada seorang individu, sebaliknya merupakan hasil kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah itu dihadiri lebih 500 warga KKTP, agensi dan PBT.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri KKTP, Datuk Isnin Aliasnih; Pengerusi dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah dan Datuk Rosemary Ahping; Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengerusi Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Arsad Bistari; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr. Roland Chia; Timbalan Setiausaha Tetap I KKTP, Tpr. Stanley Chong; serta Timbalan Setiausaha Tetap II KKTP merangkap Pengerusi Penganjur Majlis, Faridah Giau.