HomeUtamaPROTUNe cungkil bakat usahawan muda, berjaya capai jualan RM1.4 juta

PROTUNe cungkil bakat usahawan muda, berjaya capai jualan RM1.4 juta

Read Time:1 Minute, 52 Second

Kota Kinabalu: Program Tunas Niaga (PROTUNe) di Sabah terus mencipta kejayaan apabila syarikat pelajar di bawah program berkenaan mencatatkan jumlah jualan keseluruhan lebih RM1.4 juta dalam tempoh sembilan bulan pada 2024.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata, pencapaian tersebut turut disertai keuntungan bersih berjumlah RM313,957 hasil daripada penglibatan langsung pelajar dalam aktiviti perniagaan. 

Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy

“Objektif PROTUNe bukan sekadar membina kemahiran berniaga dalam kalangan pelajar sekolah menengah, tetapi turut menanam nilai kreativiti, inovasi dan kepimpinan.

“Apa yang lebih utama adalah pembentukan jati diri, keberanian serta ketangkasan pelajar dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan sebenar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNe Peringkat Negeri Sabah 2024, di sini.

Menurut Andi, program anjuran SEDCOVEST Holdings Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah itu berjaya membudayakan semangat keusahawanan di peringkat sekolah melalui latihan praktikal dan pendedahan lapangan kepada pelajar.

Dalam majlis itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan luar biasa syarikat pelajar, ‘Michaelian Millionaires’ dari Sekolah Menengah St. Michael Penampang yang merangkul Johan Projek Terbaik dan Johan Pembentang Terbaik di Konvensyen Celik Kewangan KPM-BSN 2024 peringkat kebangsaan.

Lebih membanggakan, syarikat itu turut mewakili negara ke ‘Thailand Inventors Day’ 2024 bagi kategori projek lapangan industri desa.

“Ini membuktikan pelajar Sabah mampu menyerlah di peringkat antarabangsa sekiranya diberi peluang, bimbingan dan pendedahan yang betul,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sentiasa komited menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif keusahawanan melalui agensi seperti SEDCO dan SEDCOVEST termasuk penyediaan latihan, bimbingan serta infrastruktur yang kondusif untuk pelajar memulakan perniagaan.

“Program seperti ini juga menjadi antara langkah strategik mengurangkan kadar pengangguran kerana ia membuka jalan kepada pelajar untuk menjadi pencipta pekerjaan, bukan sekadar pencari kerja,” katanya.

Andi turut menyeru semua peserta PROTUNe agar terus mengekalkan semangat keusahawanan dan menggunakan pengalaman yang diperoleh sebagai asas kejayaan dalam menghadapi era digitalisasi.

Sebanyak 10 kategori anugerah dipertandingkan dalam konvensyen tersebut bagi menghargai sumbangan dan prestasi peserta, antaranya Anugerah Kiosk Contoh, Produk Kreatif Terbaik, Perkhidmatan Terbaik dan Syarikat PROTUNe Terbaik.

Turut hadir, Pengerusi SEDCOVEST Holdings Sdn. Bhd., Datuk Rubbin Guribah; wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Asiah Ismail; wakil Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datu Asrah Datu Ambas; Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Azrul Ahmad dan Pengurus Besar SEDCOVEST, Abdul Rahim Mohd. Zain.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing dipenjara, didenda berhubung judi sabung ayam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular