HomeUtamaUMS perkasa ‘Living Labs’ sebagai pemacu pendapatan, inovasi sosial

UMS perkasa ‘Living Labs’ sebagai pemacu pendapatan, inovasi sosial

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memacu ke hadapan dengan pendekatan inovatif dan berani melalui pelaksanaan konsep ‘Living Labs’ yang bukan sahaja memperkukuh hubungan universiti dan komuniti, malah membuka laluan baharu kepada penjanaan pendapatan lestari.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, konsep itu dilihat sebagai platform strategik untuk menguji, menyesuaikan, dan menskalakan penyelesaian dunia sebenar sejajar dengan peranan universiti sebagai nadi pembangunan masyarakat dan ekonomi setempat.

Katanya, inisiatif seperti ternakan udang galah dan pelancongan komuniti kini dibangunkan sebagai model inovasi sosial yang bukan sekadar penerima manfaat, tetapi rakan kongsi dalam penciptaan nilai dan kemakmuran bersama.

“Di UMS, kami sedang melaksanakan beberapa pendekatan antaranya menstruktur semula entiti komersial universiti di bawah UMS Holdings untuk meningkatkan prestasi dan pulangan kepada institusi selain mengaktifkan dana endowmen dan wakaf kecil berpaksikan tujahan penyelidikan dan pemerkasaan komuniti.

“Selain itu, UMS turut memperkasa pendekatan ‘living labs’ seperti ternakan udang galah dan pelancongan komuniti sebagai bentuk inovasi sosial yang boleh dijana semula sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Wacana Minda : Reformasi Model Pembiayaan Baharu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk kelestarian di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Naib Canselor UMS Profesor Dr Kasim Mansor.

Abdul Rahman berkata, semua itu juga memerlukan keberanian dasar, fleksibiliti operasi, dan sokongan institusi pusat.

Beliau turut menyeru kepada semua Lembaga Pengarah Universiti Awam (LPU) di Malaysia agar tidak hanya menjadi pentadbir laporan, tetapi bertindak sebagai penghubung aktif kepada peluang luar.

“Antara dari pelaburan strategik, kolaborasi industri, hingga diplomasi akademik di peringkat antarabangsa.

“Namun, transformasi besar seperti ini menuntut perubahan dasar dan keberanian struktural. Tanpa kelonggaran dalam hal perolehan, pengurusan aset, dan keanjalan membentuk entiti baharu, universiti akan terus berdepan kekangan dalam merealisasikan potensi sebenar mereka.

“Universiti hari ini tidak boleh lagi dilihat sebagai pengguna dana awam semata-mata. Mereka adalah penggerak komuniti, pengeluar kekayaan intelek, dan duta negara di pentas global. Inilah masanya kita melangkah lebih jauh  daripada kelangsungan kepada kemampanan, dan daripada kemampanan kepada daya cipta institusi,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Utama

GRS wajar ketuai PRN Sabah – Hajiji Noor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular