Oleh Florieta Diet
PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) menahan tiga lelaki dalam satu operasi yang dijalankan kira-kira jam 12.15 tengah malam tadi (30 April) di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Superintendan Sammy Newton berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 18 hingga 38 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM3,300 secara keseluruhan.
“Hasil pemeriksaan mendapati rampasan melibatkan, tiga paket plastik biru disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi dengan berat kasar 113.52 gram, 15 biji pil pelbagai warna disyaki ekstasi seberat 8.08 gram; dan dua paket plastik lutsinar pelbagai saiz disyaki mengandungi dadah jenis ketamin seberat lima gram.
“Saringan awal air kencing turut mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.Beliau juga memberitahu bahawa kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam masa yang sama, beliau juga mengingatkan orang ramai agar menjauhi penyalahgunaan dadah serta menyeru masyarakat untuk terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala ini.