HomeUtamaHakim tegur peguam tarik diri tanpa notis awal, perbicaraan tertangguh

Hakim tegur peguam tarik diri tanpa notis awal, perbicaraan tertangguh

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini menegur tindakan seorang peguam yang menarik diri dalam satu kes jenayah tanpa notis awal kepada mahkamah sehingga menyebabkan perbicaraan yang dijadualkan sejak beberapa bulan lalu terpaksa ditangguhkan.

Mahkamah sepatutnya mendengar perbicaraan terhadap Midrick Makales yang berdepan pertuduhan merogol jirannya pada Rabu (30 April).

Namun begitu, prosiding tergendala selepas peguam tersebut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau ingin menarik diri daripada mewakili Midrick atas alasan tidak menerima sebarang arahan, dokumen berkaitan kes serta bayaran daripada keluarga tertuduh.

Hakim Elsie Primus yang mengendalikan kes itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan peguam berkenaan yang disifatkan telah membazirkan masa mahkamah.

“Jika benar kamu ingin menarik diri, kamu sepatutnya memaklumkan kepada saya lebih awal. Saya mempunyai banyak kes untuk didengar… bukan saya seorang sahaja, pegawai kehakiman lain pun sama.

“Mahkamah sudah tetapkan tarikh ini untuk perbicaraan. Sekarang apa yang saya mahu buat sepanjang hari ini? Saya kosongkan (jadual) pada tarikh ini khas untuk mendengar kes ini. Jika kamu maklumkan lebih awal, saya boleh jadualkan kes lain. Ini membazirkan masa saya,” tegas Elsie yang nyata kecewa.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan peguam tersebut. Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan peguam tersebut untuk menarik diri.

Midrick, yang sedang direman sementara menunggu perbicaraan kesnya, memaklumkan kepada mahkamah bahawa keluarganya kini sedang berusaha mengumpul wang untuk melantik peguam lain bagi mewakilinya.

Mahkamah menetapkan 13 Mei untuk sebutan semula kes dan meminta ahli keluarga Midrick hadir bagi memaklumkan sama ada mereka berjaya mendapatkan peguam baharu atau sebaliknya.

Midrick didakwa merogol seorang wanita berusia 21 tahun pada jam 11 pagi, 13 Januari lalu di sebuah bilik sewa di sebuah premis perniagaan di Lorong Buah Duku, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing dipenjara, didenda berhubung judi sabung ayam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular