Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah komited untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan golongan pekerja di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah memperluaskan lagi peluang ekonomi kepada generasi muda di negeri ini.
“Pengorbanan, semangat dan dedikasi anda menjadi tunjang kepada kemajuan negeri ini. Dari kota ke desa, daripada sektor awam hingga swasta, setiap titik peluh yang dicurahkan adalah nadi pembangunan Sabah.
“Kerajaan Negeri akan memperjuangkan hak, kebajikan dan peluang untuk para pekerja termasuklah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran yang dikemaskini di Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berharap agar Hari Pekerja ini menjadi tanda penghargaan atas segala usaha para pekerja dan mendorong untuk terus membina negeri yang lebih adil, makmur dan sejahtera. – SABAH MEDIA