Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bertindak pantas menangani isu sampah sarap yang mencemari kawasan jalan bertingkat Aeropod, susulan aduan awam yang menimbulkan ketidakselesaan pengguna jalan raya baru-baru ini.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil pemantauan mendapati punca utama kekotoran adalah sikap segelintir individu yang membuang sampah dari kenderaan atau meninggalkannya di kawasan tersebut.
Menurut kenyataan itu, kejadian ini bukan sahaja mencemar pemandangan, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab yang menjejaskan imej bandaraya.

“Walaupun jalan bertingkat Aeropod berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan diselenggara syarikat konsesi Globinaco Sdn. Bhd., DBKK melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) telah bertindak segera menjalankan kerja-kerja pembersihan awal sejurus menerima aduan.
“Sebagai langkah berterusan, DBKK akan melaksanakan Operasi Anti Kutu Sampah secara berkala. Pesalah yang membuang sampah merata boleh dikenakan kompaun serta-merta antara RM30 hingga RM500 di bawah Undang-undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984 (Pindaan 2005),” menurut kenyataan itu di sini.
DBKK menyeru semua warga bandaraya agar bersama memelihara kebersihan persekitaran demi mewujudkan Kota Kinabalu yang bersih, indah dan berdaya huni.
“Jangan biarkan segelintir merosakkan usaha kita semua. Kebersihan bandar tanggungjawab bersama,” menurut kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK