Tambunan : Kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, terus komited dalam usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil pertanian bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, SSL Sabah ketika ini hanya 22.8 peratus, dan negeri ini masih bergantung kepada makanan yang diimport.
Katanya, atas sebab itu, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) tahun lalu, dan kini sedang giat membangunkan kira-kira 22,146 hektar sawah padi terbiar di daerah Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Tambunan.
“Sudah pasti ini akan membantu usaha MAFFI untuk meningkatkan SSL makanan Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan di sini hari ini.
Mengulas mengenai program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (REPLB) yang dilancarkan semalam, Hajiji berkata ia selari dengan semangat Pesta Kaamatan dan menandakan keprihatinan mendalam Kerajaan Negeri terhadap golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar.
“Program ini dilancarkan sebagai langkah strategik melonjak pengeluaran hasil pertanian demi memacu pertumbuhan ekonomi petani sara diri.
“Ia bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan hasil pertanian dan keselamatan makanan di Sabah khususnya dan Malaysia amnya, tetapi juga merupakan usaha untuk memartabatkan ekonomi rakyat luar bandar, memperkasa petani, nelayan dan usahawan tani agar mereka dapat berdikari, berinovasi dan menjana pendapatan yang mampan.
“Melalui penggunaan teknologi moden, sistem sokongan rantaian bekalan, dan pembukaan peluang pasaran baharu, revolusi ini membuka jalan bagi komuniti luar bandar untuk bangkit sebagai pemain utama dalam ekonomi Sabah,” katanya.
Lebih penting lagi, Hajiji berkata pembangunan ekonomi luar bandar juga menjadi pemangkin kepada perpaduan dan kestabilan sosial.
“Apabila pendapatan meningkat, peluang pekerjaan diwujudkan, dan golongan muda kembali ke kampung dengan ilmu dan harapan, maka komuniti akan menjadi lebih kukuh, bersatu dan sejahtera.
“Saya berharap program ini akan membantu komuniti petani, khususnya di luar bandar,” katanya. – SABAH MEDIA