Kota Kinabalu : Kerosakan pada komponen ‘Float Valve’ pada tangki air simpanan sistem pencegah kebakaran (wet riser) dikenal pasti sebagai punca utama kejadian limpahan air yang membanjiri ruang pejabat di aras 11 Blok A Menara Kinabalu semalam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Datuk Philemon Lajawai berkata, pada masa yang sama, pam air sistem bekalan air paip telah mengepam air masuk secara automatik dan secara berterusan ke tangki ‘wet riser’.
Katanya, insiden yang berlaku sekitar jam 12.25 tengah hari itu menyebabkan air melimpah dari aras 11 hingga aras 7, melibatkan kawasan seluas 2,588 meter persegi termasuk lif dan tangga kecemasan.
“Kelewatan pihak syarikat Pengurusan Fasiliti, Sinar Uni-Resources Sdn. Bhd. untuk menutup pam air telah mengakibatkan air melimpah dengan banyak sehingga mengakibatkan ruang-ruang pejabat ditakungi air.
“Dianggarkan lebih kurang 34,000 liter air telah dipam secara berterusan dalam tempoh 45 minit yang telah mengakibatkan limpahan air tersebut. Komponen yang rosak ini telahpun digantikan serta merta.
“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan, penyelenggaraan dan bagi mengurangkan risiko kerosakan pada sistem lif, Sistem Pengoperasian Lif (lapan buah) telah ditutup serta merta semasa kejadian.
“Walau bagaimanapun, operasi satu lif kakitangan telah disahkan selamat pada jam 6 petang semalam, manakala satu lif kargo tidak terkesan daripada insiden dan masih berfungsi seperti biasa. Bagi kerja-kerja pembersihan, ianya selesai dilakukan pada jam 11.30 malam semalam,” katanya dalam kenyataan di sini.
Philemon berkata, secara keseluruhannya, perkhidmatan beberapa jabatan kerajaan yang terkesan di Blok A, Menara Kinabalu masih beroperasi seperti biasa.
Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci terhadap insiden ini untuk mengesahkan tiada unsur-unsur kecuaian dan untuk mengelakkan perkara yang sama daripada berulang di masa akan datang. – SABAH MEDIA