HomeUtamaSSB nafi dakwaan eksport kayu eucalyptus beri kesan negatif

SSB nafi dakwaan eksport kayu eucalyptus beri kesan negatif

Read Time:1 Minute, 11 Second

TAWAU: Sabah Softwoods Berhad (SSB) menafikan dakwaan bahawa aktiviti eksport kayu eucalyptus oleh syarikat itu memberi kesan negatif kepada negeri, sambil menegaskan bahawa semua operasinya mematuhi undang-undang serta piawaian antarabangsa.

Pengerusi SSB, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, syarikat itu memandang serius cubaan pihak tertentu yang memanipulasi fakta bagi mencetuskan persepsi buruk terhadap syarikat dan kerajaan Sabah.

“Eksport kayu eucalyptus oleh SSB mematuhi sepenuhnya peraturan Malaysia serta mendapat pemantauan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Kastam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu susulan satu hantaran di sebuah laman Facebook yang mengundang komen negatif orang awam terhadap operasi syarikat.

Menurut Mohd Arsad, operasi SSB turut diiktiraf oleh Majlis Pengawasan Hutan (FSC), sebuah organisasi antarabangsa yang menetapkan piawaian pengurusan hutan secara bertanggungjawab di seluruh dunia.

Selain pensijilan FSC, kayu kayan SSB juga diperakui di bawah Sistem Jaminan Kesahan Kayu Sabah (TLAS), iaitu satu sistem usaha wajar (due diligence) yang memastikan hasil kayu berasal daripada ladang yang sah, boleh dijejak, dan memenuhi piawaian alam sekitar serta peraturan eksport.

Beliau turut menjelaskan bahawa peranan penting SSB dalam industri perkayuan Sabah pernah diiktiraf mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mengecualikan syarikat itu daripada larangan eksport balak tropika pada tahun 2018.

Sebagai anak syarikat Yayasan Sabah yang telah beroperasi selama 52 tahun, SSB kekal komited menerajui industri huluan kayu kayan di negeri ini secara profesional dan beretika demi manfaat rakyat Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Ketua Adat agen perubahan komuniti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular