HomeUtamaPetrol RON97 mula dijual di Petronas Kimanis untuk kemudahan pelawat Brunei

Petrol RON97 mula dijual di Petronas Kimanis untuk kemudahan pelawat Brunei

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh Normimie Diun

KIMANIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) memulakan ujian rintis penjualan petrol RON97 di Stesen Petronas Kimanis susulan aduan kesukaran mendapatkan bekalan bahan api itu, khususnya daripada pelawat dan pelancong dari Brunei Darussalam.

Armizan (dua kanan) semasa pelancaran Mini PCS RON97 di Petronas Kimanis di sini, hari ini.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ujian rintis itu menggunakan sistem Mini Portable Container System (PCS) berkapasiti 5,000 liter dan akan berlangsung selama enam bulan bermula hari ini.

“Daripada 260 stesen minyak di seluruh Sabah, hanya 37 membekalkan RON97. Banyak stesen tidak menyediakan bahan api ini kerana permintaan rendah serta risiko kerugian.

“Pelawat dari Brunei hanya dibenarkan membeli petrol RON97 tidak bersubsidi yang dijual pada harga RM3.18 seliter. Kekurangan bekalan di laluan masuk ke Sabah menimbulkan kesukaran kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mini PCS RON97 di sini, hari ini.

Menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebanyak 156,000 kenderaan berdaftar Brunei memasuki Malaysia melalui sempadan darat sepanjang 2023 hingga 2024.

Katanya, Stesen Petronas Kimanis dipilih kerana lokasinya yang strategik di laluan utama dari Bandar Seri Begawan ke Kota Kinabalu melalui Lebuh Raya Pan Borneo, dengan jarak sekitar 205 kilometer dari sempadan Brunei.

“Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kemudahan kepada pelancong asing dan pengguna tempatan, sambil menilai kestabilan bekalan, corak permintaan serta keperluan logistik untuk pelaksanaan jangka panjang,” katanya.

Dalam masa sama, KPDN turut melaksanakan mekanisme Rekod Log Pemantauan bermula 1 Januari 2025 melibatkan 538 stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi menangani isu ketirisan barang kawalan.

Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan penguatkuasaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof pada 14 Disember 2024.

Hadir sama pada majlis pelancaran inisiatif itu ialah Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam; Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin; Ketua Pegawai Operasi PETRONAS Dagangan Berhad, Azureen Azita Abdullah serta Rakan Niaga AJ Petromart merangkap pemilik Stesen Petronas Kimanis, Josephine Lim.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji dan isteri santuni jemaah haji Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular