Oleh Wan Azrain Adnan
KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan prospek ekonomi negara yang semakin jelas susulan perang tarif global dilihat bakal memberi tekanan besar terhadap pasaran buruh tempatan, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat berkaitan keselamatan pekerjaan dan kadar gaji.
Laporan terbaharu Hiring, Compensation and Benefits 2025 oleh Jobstreet yang diterbitkan baru-baru ini memperincikan jangkaan dan perancangan majikan terhadap pasaran buruh untuk separuh pertama tahun ini. Laporan tersebut dibina berdasarkan tinjauan ke atas 2,279 responden terdiri daripada majikan dan profesional sumber manusia merentas pelbagai industri serta saiz organisasi.
Hampir separuh daripada organisasi kecil (48%), sederhana (49%) dan besar (47%) menyatakan hasrat untuk menambah pekerja dalam tempoh Januari hingga Jun 2025. Faktor utama yang mendorong pengambilan baharu ini ialah pengembangan perniagaan.

Sementara itu, 41% majikan memilih untuk mengekalkan jumlah pekerja sedia ada, manakala hanya 5% menyatakan hasrat mengurangkan pekerja – langkah yang didorong oleh keperluan mengurangkan kos operasi dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi.
Bagaimanapun, dapatan itu dibuat dalam tempoh ketika sentimen ekonomi masih positif, dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada paras 4.5% hingga 5.5% bagi tahun 2025.
Perang Tarif Ubah Segala-galanya
Namun situasi berubah drastik selepas Amerika Syarikat mengumumkan pelaksanaan ‘perang tarif’ ke atas pelbagai negara, termasuk Malaysia yang dikenakan kadar tarif timbal balik sebanyak 24%. Negara ASEAN lain turut terkesan – Indonesia (32%), Thailand (37%), Myanmar (45%), Vietnam (46%), Laos (48%) dan Kemboja (49%).
Kesan segera daripada dasar perdagangan agresif itu ialah semakan semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia, yang kini diramalkan berada di antara 4% hingga 4.5% – lebih rendah daripada jangkaan awal.
Keadaan ini mendorong banyak majikan untuk menilai semula rancangan pengambilan pekerja mereka. Menurut pemerhati industri, langkah membekukan pengambilan atau pengurangan tenaga kerja dijangka menjadi lebih meluas.
Presiden Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 pekerja berisiko kehilangan pekerjaan khususnya di negeri berorientasikan eksport seperti Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang. MICCI turut menjangkakan pertumbuhan gaji pekerja akan turut terjejas.
PKS dan Industri E&E Terancam
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pula menyatakan lebih 60,000 pekerja Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bergantung kepada eksport ke pasaran Amerika Syarikat berada dalam risiko tinggi kehilangan kerja. Menurut MEF, sekitar 12,000 daripada 1.2 juta PKS negara mempunyai keterikatan langsung dengan pasaran eksport AS.
Dalam pada itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik (KPPPL) yang mewakili lebih 10,000 pekerja dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), turut menyuarakan kebimbangan bahawa sektor itu kini berada di bawah tekanan hebat yang berpotensi menjejaskan keselamatan pekerjaan ribuan pekerja tempatan.
Kadar Pengangguran Masih Stabil – Buat Masa Ini
Berdasarkan Sorotan Pasaran Buruh Suku Tahun Ke-4 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara masih kekal stabil pada paras 3.2%. Angka ini menunjukkan Malaysia masih berada dalam kategori guna tenaga penuh – istilah yang digunakan apabila kadar pengangguran berada di bawah 4%.

Namun kestabilan ini bakal terancam sekiranya jangkaan pemberhentian pekerja dalam sektor eksport menjadi kenyataan, justeru menyebabkan kadar pengangguran meningkat.
Malaysia telah mengekalkan kadar pengangguran rendah secara konsisten selama lebih 40 tahun, dari 1982 hingga 2023, yang mencerminkan keupayaan pertumbuhan ekonomi negara menyediakan peluang pekerjaan mencukupi.
Rundingan Perlu Membuahkan Hasil
Dalam menghadapi tekanan ini, kerajaan sedang menjalankan rundingan dengan pihak Amerika Syarikat bagi membincangkan semula kadar tarif yang dikenakan. Harapan kini disandarkan kepada diplomasi perdagangan untuk memastikan kesan jangka panjang terhadap ekonomi dan pasaran buruh negara dapat diminimumkan.
Kejayaan rundingan ini bukan sahaja penting bagi memulihkan keyakinan pelabur dan majikan, malah dapat mengurangkan keresahan rakyat terhadap ketidaktentuan ekonomi yang sedang melanda.