HomeUtamaPolis giat siasat kes kehilangan Pamela Ling

Polis giat siasat kes kehilangan Pamela Ling

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kuala Lumpur : Misteri kehilangan Pamela Ling Yueh, wanita berusia 42 tahun yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 April lalu, masih belum menemui sebarang petunjuk konkrit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, dalam kenyataan terbaharu memaklumkan bahawa siasatan sedang giat dijalankan dan setakat ini, seramai 12 individu telah dirakam keterangan. Namun begitu, keberadaan mangsa masih belum dapat dipastikan.

“Belum ada sebarang perkembangan atau petunjuk baharu. Polis teruskan siasatan dari pelbagai sudut,” katanya.

Semalam, media turut melaporkan bahawa pihak polis tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan daripada mana-mana pihak yang mungkin terlibat, menepis spekulasi bahawa kehilangan Pamela berkait dengan penculikan bermotifkan wang.

Pamela Ling dijadualkan hadir memberi keterangan kepada SPRM berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan oleh suruhanjaya itu. Kehadirannya pada hari kejadian disahkan oleh pihak SPRM, namun wanita tersebut gagal muncul seperti yang dijadualkan.

“Ini bukan kali pertama beliau dipanggil oleh SPRM. Beberapa individu, termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa, telah dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan,” jelas Rusdi.

Keluarga mangsa dalam satu kenyataan turut merayu kepada orang ramai yang mungkin mempunyai sebarang maklumat agar tampil membantu siasatan.

Menurut adik mangsa, Simon Ling Wan Siong, Pamela sempat menghubungi peguamnya melalui WhatsApp pada jam 1.57 tengah hari dan memaklumkan bahawa beliau dalam perjalanan ke SPRM menaiki perkhidmatan e-hailing. Beliau dijangka tiba pada jam 2.08 petang.

“Namun selepas jam 2 petang, panggilan telefon dan pesanan WhatsApp tidak dijawab. Aplikasi juga menunjukkan mesej tidak dihantar. Grab Malaysia mengesahkan perjalanan ditandakan sebagai selesai, tetapi tiada maklumat lanjut yang diperoleh,” kata Simon.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kehilangan ini, dan siasatan masih berjalan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah komited perkukuh agenda kesejahteraan rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular