HomeUtamaSaringan awal kunci lawan kanser payudara

Saringan awal kunci lawan kanser payudara

Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Wanita disaran menjalani saringan kesihatan secara berkala bagi mengesan kanser payudara lebih awal, sekali gus meningkatkan peluang untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkesan.

Presiden Pink Ribbon Kinabalu Sabah, Christy Fe Salazar, berkata masih ada pesakit di luar bandar lewat mendapatkan rawatan hospital kerana memilih rawatan tradisional terlebih dahulu.

“Apabila akhirnya mereka ke hospital, kanser mereka sudah berada pada tahap empat yang kritikal. Ada juga yang tidak mampu datang kerana kekangan kewangan dan kos perjalanan yang tinggi ke bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program berjalan amal Walk Abreast Hari Ibu ke-13 anjuran Pink Ribbon Kinabalu Sabah di Taman Awam Teluk Likas, di sini, hari ini (4 May).

Lebih 1,000 peserta menyertai program tahunan itu yang disempurnakan oleh isteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Datuk Juliah Salag. Turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang dan Pengasas Pink Ribbon Kinabalu Sabah Datin Lucilla Pang.

Christy berkata, program itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kanser payudara, malah menjadi platform untuk mengumpul dana membantu pesakit kurang berkemampuan.

“Separuh dari hasil kutipan hari ini akan disalurkan ke dalam dana kebajikan pesakit dan akan diberikan kepada pesakit yang memerlukan, termasuk bantuan tunai sebanyak RM300 untuk membolehkan mereka keluar dari kampung dan mendapatkan rawatan.

“Walaupun jumlah itu tidak besar, ia dapat meringankan beban, terutama bagi pesakit yang perlu membawa pengiring,” katanya.

Menurutnya, Pink Ribbon Kinabalu turut menyediakan kemudahan ‘halfway home’ secara percuma kepada pesakit luar bandar.

Katanya, hanya hopsital di Kota Kinabalu mempunyai kemudahan radioterapi, menjadikan kos perjalanan sebagai halangan besar kepada pesakit luar bandar.

Christy turut memaklumkan bahawa satu Majlis Makan Malam Amal dan Tarian Pink Ribbons Kinabalu Sabah akan diadakan pada 7 Jun ini di Putera Ballroom bagi mengumpul dana membeli mesin Lymphedema, yang digunakan untuk mengurangkan bengkak selepas pembedahan.

“Kami juga akan menganjurkan Gala Dinner pada 6 Oktober dan beberapa aktiviti lain sepanjang tahun bagi mengukuhkan sokongan kepada pesakit kanser,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pengesanan awal dan rawatan segera adalah kunci dalam melawan penyakit ini, dan berharap lebih ramai wanita tampil melakukan pemeriksaan secara berkala.

RELATED ARTICLES
Utama

Nvidia Umum Superkomputer Pertama Malaysia Bersama YTL, Dijangka Beroperasi Suku Ketiga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular