HomeUtamaPM Anwar seru semua pihak tangguh tindakan, keluar kenyataan isu Petronas-Petros

PM Anwar seru semua pihak tangguh tindakan, keluar kenyataan isu Petronas-Petros

Read Time:1 Minute, 8 Second

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak berhubung urusan antara PETRONAS dan syarikat minyak negeri, Petros, akan diteruskan mengikut semangat persefahaman yang telah disepakati sebelum ini.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke akaun Facebook rasminya, Anwar memaklumkan beliau telah mengadakan perbualan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam bagi menyentuh perkara tersebut.

“Saya telah berkesempatan bercakap dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg semalam mengenai urusan PETRONAS-Petros berdasarkan prinsip yang telah disepakati sebelum ini,” katanya.

Menurut Anwar, perbincangan lanjut akan diadakan sebaik sahaja Premier Sarawak kembali daripada lawatan rasminya ke London, United Kingdom.

“Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya,” ujar Perdana Menteri.

Sambil menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan proses rundingan, Anwar menekankan pentingnya semua pihak memelihara suasana perbincangan yang rasional dan konstruktif.

“Sementara itu, atas dasar kepentingan bersama, semua pihak harus menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah,” katanya lagi.

Kenyataan ini hadir di tengah-tengah spekulasi berhubung isu kawal selia sumber minyak dan gas di Sarawak yang melibatkan kedua-dua entiti utama dalam sektor tenaga negara – PETRONAS dan Petros.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga asing terlepas hukuman mati, terima 33 tahun penjara dan sebatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular