Kota Kinabalu: Sebanyak 140 buah pasukan dari dalam dan luar negara termasuk Hong Kong, Brunei dan Filipina dijangka akan menyertai perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa edisi ke-10 pada tahun.
Perlumbaan bertaraf antarabangsa itu akan berlangsung selama dua hari bermula 17 Mei dan kemuncak serta perasmian sukan tahunan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pengerusi penganjur, Tan Sri Dr T.C. Goh yang juga Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) berkata, pertandingan itu menawarkan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM90,000 melibatkan 11 kategori perlumbaan.
“Kategori utama iaitu Piala TYT yang menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM10,000 kepada pasukan juara.
“Selain itu, pelbagai kategori lain turut dipertandingkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai penyertaan dari pelbagai lapisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Selasa.
Katanya, acara itu sekali gus menjadikannya antara acara sukan air terbesar di rantau ini.
Beliau turut mempelawa seluruh rakyat Sabah khususnya dari sekitar Pantai Barat dan Kota Kinabalu untuk hadir memeriahkan acara yang turut berkonsepkan karnival itu, lengkap dengan gerai jualan, makanan dan hiburan keluarga.
“Kami menjangkakan kehadiran lebih 10,000 pengunjung ke Teluk Likas sepanjang penganjuran dan berharap acara ini bukan sahaja mengukuhkan semangat perpaduan, malah menyumbang kepada sektor pelancongan tempatan,” katanya.