KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bahawa seorang wanita yang maut selepas dipercayai ditolak keluar dari sebuah van di Lebuhraya Kesas bukan individu yang dikaitkan dengan kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang Selasa berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Awan Besar, apabila saksi melihat mangsa ditolak keluar dari sebuah van yang kemudiannya memecut meninggalkan lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba sejurus dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa dikenalpasti sebagai seorang wanita berusia 44 tahun dari Ipoh, Perak.
“Saya ingin mengesahkan bahawa mangsa bukan individu yang dilaporkan hilang, Datin Seri Pamela Ling,” tegas ACP Aidil.
Pihak polis akan menjalankan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian dan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.
sebelum itu media melaporkan Mayat seorang wanita ditemui dipercayai dicampak dari sebuah van di tepi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Awan Besar, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 2.58 petang tadi.