Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegur sikap segelintir Ahli Majlis Daerah yang tidak hadir ke mesyuarat dan ada yang lantang mengkritik pegawai dan kakitangan majlis tanpa menyumbangkan sebarang cadangan bernas.
“Saya lihat ada Ahli Majlis Daerah yang tidak hadir mesyuarat, tapi bila ada isu, mereka pandai komplen tentang pegawai eksekutif, tentang kakitangan sedangkan mereka sendiri tidak beri cadangan atau bantu selesaikan masalah, Keadaan seperti ini tidak sihat, kita lantik kamu, sebab kita mengharapkan kamu boleh membantu membangunkan kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Ahli-Ahli Majlis Daerah Putatan bagi penggal 2025 hingga 2027, yang berlangsung di Pacific Sutera di sini, hari ini (6 Mei).
Seramai 18 Ahli Majlis Daerah telah mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan masing-masing dalam majlis tersebut.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menegaskan bahawa ahli majlis adalah sebahagian daripada struktur kerajaan di peringkat ketiga selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, dan memiliki kuasa untuk meluluskan dasar serta peruntukan kewangan.
“Kamu sebenarnya adalah pembuat dasar di peringkat tempatan. Sebarang tindakan yang diambil oleh pengerusi atau pegawai eksekutif perlukan kelulusan ahli majlis. Kalau kamu tidak luluskan, maka pembangunan akan terganggu,” tegas beliau.
Dr. Joachim menasihati semua ahli majlis untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti, ketulusan dan keikhlasan demi kepentingan rakyat.
“Ramai di antara kamu merupakan profesional … arkitek, jurutera, akauntan, peguam, maka gunakan kelebihan itu untuk membantu majlis dan rakyat. Kita perlukan ahli majlis yang proaktif,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh keperluan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) menjana sumber kewangan sendiri dan tidak terus bergantung kepada peruntukan Kerajaan Negeri atau Persekutuan.
Menyentuh potensi daerah Putatan, beliau berkata kawasan itu mempunyai potensi, termasuk melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan seperti perumahan dan pelancongan hasil kerjasama antara majlis dan pihak swasta.
“Ada beberapa syarikat telah datang untuk cadangkan usaha sama dengan Majlis Daerah Putatan. Tetapi sebelum diluluskan, kamu sebagai ahli majlis mesti jalankan penilaian menyeluruh untuk pastikan syarikat itu benar-benar mampu,” tegasnya, sambil sambil menekankan agar tidak meluluskan projek yang akhirnya menjadi gajah putih.
Turut hadir di majlis itu, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah yang juga Ahli Parlimen Putatan, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tg. Keramat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; ADUN Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Ag. Sahari;, Pegawai Daerah Putatan, merangkap Pengerusi Majlis Daerah Putatan, Masawi Salleh dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib.