KUALA LUMPUR — Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa suami kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh merupakan antara individu yang sedang disiasat berhubung kehilangan wanita berkenaan sejak 9 April lalu.
“Buat masa ini, siasatan menjurus ke arah kemungkinan suaminya terlibat, dan tidak menolak ada pihak lain yang turut memainkan peranan.
“Setakat ini, kita telah mengambil keterangan lebih 16 individu, termasuk suami mangsa pada peringkat awal siasatan. Kami juga akan merakam keterangan anak-anak pasangan ini yang berada di Singapura,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis masih belum mengenal pasti motif sebenar kehilangan tersebut, namun siasatan dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan bahawa kenderaan yang disyaki digunakan dalam penculikan itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Siasatan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bahawa kesemua kenderaan yang dikenal pasti menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kita telah mengarahkan semua pasukan untuk mengenal pasti dan meneliti rakaman CCTV di Putrajaya, Kuala Lumpur serta sempadan negeri Selangor bagi mengesan pergerakan kenderaan yang sepadan,” katanya dalam sidang media berasingan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.
Polis kini sedang giat menjejaki kenderaan dan individu yang terlibat bagi merungkai kehilangan misteri wanita berusia 42 tahun itu.