Beaufort: Hujan lebat dan banjir yang melanda daerah ini sejak beberapa hari lalu tidak menjadi halangan buat penduduk sekitar untuk menderma darah sempena Program Kesedaran Kesihatan Wanita.
Program yang diadakan di Tadika Kung Ming, di sini Sabtu lalu itu berjaya mengutip 66 beg darah.

Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi Persatuan Wanita Cina Beaufort, Gracia Ng Giok Chin berkata, menyifatkan sambutan masyarakat sebagai luar biasa, dengan ramai penderma dan pengunjung sanggup meredah air banjir demi menjayakan program tersebut.
“Saya amat terharu dengan kegigihan para penderma darah dan orang ramai yang sanggup meredah banjir untuk sampai ke lokasi, begitu juga usaha para petugas dan agensi yang membantu menjayakan program ini,” katanya.

Katanya, program yang diadakan buat pertama kali itu bertujuan bagi meningkatkan lagi kesedaran wanita terhadap tahap kesihatan diri melalui pemeriksaan percuma dan pameran pelbagai kaunter informasi kesihatan.
“Menyedari minat tinggi masyarakat terhadap aktiviti derma darah, pihak penganjur turut mengadakan sesi derma darah bagi membantu menambah stok darah hospital.
“Walaupun pada asalnya program dirancang di gelanggang bola keranjang, keadaan banjir memaksa sebahagian aktiviti dipindahkan ke kantin SJK (C) Kung Ming, namun program tetap diteruskan dengan semangat yang tinggi,” katanya.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama WSG Group, Hospital Beaufort, Hospital Papar, Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort, serta sokongan dari pihak swasta seperti Sunlight Farmasi, Indocafe, Cuckoo dan lain-lain.
Antara yang mencuri tumpuan ialah kehadiran Chin Hock Tshung, penderma darah paling aktif di Beaufort, yang melakukan derma darah ke-95 beliau pada program kali ini. –SABAH MEDIA