HomeUtamaPeserta Unduk Ngadau Beluran 2025 selami keunikan tradisi Dusun Labuk

Peserta Unduk Ngadau Beluran 2025 selami keunikan tradisi Dusun Labuk

Read Time:2 Minute, 44 Second

Oleh J. Evachel John

Eksklusif

BELURAN: Warisan budaya Dusun Labuk menjadi tumpuan utama dalam aktiviti pra-pertandingan Unduk Ngadau Beluran 2025, menjadikan edisi kali ini lebih bermakna dan berkemahiran.

Antara gelagat yang dirakam sepanjang aktiviti pra-pertandingan. – Foto ihsan Frandy Lim

Sepanjang program, peserta diberi pendedahan langsung kepada pelbagai kemahiran dan pengetahuan tradisional Dusun Labuk, merangkumi pakaian, makanan, muzik, dan tarian.

FOKUS… Seorang peserta tekun memasukkan benang ke dalam jarum semasa aktiviti menyulam. – Foto ihsan Frandy Lim

Buat julung kalinya, kemahiran seni tradisional seperti menyulam motif bunga gosing dan ‘mongorinda’ (mengait) les Labuk diperkenalkan kepada peserta. Kedua-dua kemahiran ini merupakan elemen penting dalam mengekalkan keaslian pakaian tradisi Dusun Labuk, iaitu Sabung Labuk.

Peserta turut menyaksikan persembahan ‘Magalai Labuk’, tarian tradisi masyarakat Dusun Labuk yang diiringi alunan muzik ‘titik tungkil’.

Para peserta belajar gerakan ‘Magalai Labuk. – Foto ihsan Frandy Lim
Para peserta belajar bermain alat muzik tradisional. – Foto ihsan Frandy Lim

Mereka kemudiannya diberi peluang untuk mempelajari gerakan tarian tersebut serta mengenal dan mencuba sendiri alat muzik yang digunakan.

Selain itu, peserta turut berpeluang mengenal dan menikmati pelbagai hidangan tradisional Dusun Labuk, sambil mempelajari nama serta keunikan setiap sajian.

Menurut penyelaras Unduk Ngadau Beluran, Rinah Michael, pendekatan ini bertujuan memperkukuh kefahaman peserta terhadap budaya tempatan yang kian terpinggir dalam arus pemodenan.

“Perubahan ini didorong oleh kesedaran untuk mengekalkan warisan budaya Dusun Labuk yang semakin terpinggir dalam arus pemodenan.

“Pihak penganjur berharap pentas Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan kecantikan, tetapi platform untuk memperkasakan identiti budaya melalui kemahiran tradisional seperti menyulam dan mengait. Ini juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan mencintai budaya mereka sendiri,” katanya kepada Sabah Media.

Rinah, pemenang Unduk Ngadau Beluran 2006, menegaskan bahawa peserta Unduk Ngadau harus dilihat sebagai duta budaya, dan aktiviti pra-pertandingan bertujuan melahirkan ‘sumandak’ yang mampu menjadi duta budaya daerah Beluran.

“Kecantikan luaran sahaja tidak cukup. Mereka perlu ada pengetahuan, kefahaman dan penghargaan terhadap adat, bahasa, serta kemahiran tradisi. Ini penting supaya nilai-nilai budaya terus diwarisi dan dihormati oleh generasi akan datang. Ia juga mencerminkan keaslian dan jati diri sebagai wanita Dusun Labuk,” tegasnya.

Para peserta menikmati sajian makanan tradisi Dusun Labuk. – Foto ihsan Frandy Lim

Beliau menambah, walaupun program yang berlangsung pada Sabtu lalu (3 Mei) di Butik Ryna Collection, Taman Perumahan Beluran itu berbentuk pengenalan, para peserta tetap teruja dan bangga dapat belajar kemahiran yang jarang diajar secara formal.

“Aktiviti ini bukan sahaja mencabar kreativiti mereka, tetapi juga membuka mata tentang kehalusan seni warisan nenek moyang. Ada juga yang menyatakan ini kali pertama mereka mencuba, dan ia memberi pengalaman yang sangat bermakna,” katanya.

Beliau juga berharap agar pentas Unduk Ngadau terus berkembang sebagai platform yang memperkasakan wanita secara holistik termasuklah aspek penampilan, pengetahuan dan ilmu budaya.

“Semoga pertandingan ini dapat melahirkan generasi muda yang berani, berpengetahuan, dan bangga dengan asal usul mereka. Semoga warisan kita terus hidup, dihargai dan dibawa ke masa depan dengan penuh kebanggaan,” katanya.

Seramai 15 peserta akan menyertai pertandingan akhir Unduk Ngadau Beluran yang dijadual berlangsung pada 10 Mei ini di Dewan Serbaguna Beluran.

Mereka adalah Genevee Hazel Gilbert; Rini Aswanda Jukilin; Ellizlie Timhol Elling; Viearupfni Jinis; Eilaney Lenny Stonny; Angel Amanda Norbort Stephen; Paula Kristine Babango; Evyeannigel Cornelius; Michellynne Ferreira Julius Onik; Adrienne Clare Geoffrey; Caesyzizi Liakim; Aileen Joi Tubong; Milka Bonong; Ashley Albert; dan Michelle Perreira Julius Onik.

RELATED ARTICLES
Utama

PM Anwar dijangka rasmi Pesta Kaamatan 2025 30 Mei ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular