TAWAU: Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Batu 2 Kampung Baru di sini, awal pagi tadi.

Kebakaran itu melibatkan empat keluarga tempatan hilang tempat tinggal dengan keseluruhan mangsa seramai 18 orang.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3.31 pagi tadi (6 Mei) selepas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Tawau menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 3.29 pagi.
Pasukan APM segera menggerakkan seorang pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat ke lokasi menggunakan sebuah kenderaan Heavy Rescue Vehicle (HRV), sebelum tiba di lokasi pada jam 3.35 pagi.
Operasi pemadaman dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kekuatan lima pegawai dan 20 anggota lain-lain pangkat serta tujuh aset termasuk tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS), satu tangki air, sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda (4×4).
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.30 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 7.15 pagi.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Mangsa warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita warga emas, lapan lelaki dewasa, enam wanita dewasa serta tiga kanak-kanak.
Pasukan APM turut membantu mengawal orang awam di sekitar kawasan kebakaran sepanjang operasi berlangsung.
Turut terlibat dalam operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan 16 anggota termasuk unit kereta peronda (Mobile Patrol Vehicle – MPV), unit trafik dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), serta dua kakitangan Sabah Electricity. Tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.