BEAUFORT: Sabah Electricity tampil menghulurkan sumbangan membantu mangsa yang terjejas akibat banjir yang melanda di Daerah Beaufort.
Bantuan sumbangan sebanyak RM15,000.00 diserahkan untuk Tabung Bencana Alam (Beaufort) oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar.
Selain itu, sebanyak 20 karton air minuman turut diserahkan kepada Pegawai Daerah Beaufort merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun di Pusat Pemindahan Kekal Selagon pada Selasa.
Mohd Yaakob berkata, usaha ini adalah salah satu inisiatif berterusan Sabah Electricity di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat.
“Sabah Electricity memahami kesusahan yang dihadapi oleh mereka yang dilanda banjir dan berharap sumbangan ini dapat membantu memberikan sedikit kelegaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Turut hadir adalah barisan pengurusan tertinggi Sabah Electricity dan Pengurus Zon Barat/Beaufort Afif Eugene.