Kundasang : Kerajaan Negeri Sabah terus komited membela nasib rakyat apabila seramai 643 peniaga kecil tepi jalan seluruh negeri bakal menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ia adalah usaha bagi memperkasa ekonomi mikro dan meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata bantuan itu diberikan kepada peniaga yang dikenal pasti layak melalui proses tapisan dan verifikasi ketat oleh jawatankuasa khas melibatkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP); Kementerian Kewangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Bantuan ini bukan sahaja angka, tetapi bukti nyata komitmen kerajaan negeri untuk memastikan peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi setempat tidak dipinggirkan,” katanya ketika merasmikan Majlis Kick-Off Penyerahan Bantuan UNTUKMU di Pentas Budaya Kundasang, di sini.
Dr. Joachim berkata, seramai 47 penerima dari daerah Ranau telah menerima sumbangan berkenaan, manakala agihan ke daerah lain akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Peniaga kecil sering berdepan cabaran besar seperti kos operasi meningkat, kekurangan modal dan lokasi niaga tidak tetap.
“Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin untuk mereka terus berkembang dan bersaing,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranan penting peniaga kecil dalam ekosistem ekonomi tempatan, bukan sahaja sebagai penyedia perkhidmatan, tetapi juga pencipta peluang pekerjaan dalam komuniti.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan mock cheque kepada wakil-wakil PBT yang terlibat.
Program bantuan ini adalah sebahagian daripada strategi pembangunan inklusif Kerajaan Negeri Sabah di bawah agenda memperkukuh ekonomi rakyat. – SABAH MEDIA