Oleh Siti Azizah Talata
TAWAU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Ekonomi bagi meneruskan pelaksanaan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya berharap agar permohonan tersebut diberikan pertimbangan sewajarnya demi kelangsungan program pembangunan komuniti melalui SDSI.
Menurut Ewon, pelaksanaan SDSI setakat ini menunjukkan impak positif apabila 90 peratus usahawan yang menyertai program tersebut berjaya meningkatkan jualan melebihi 20 peratus.
“Sebagai contoh, Koperasi Desa Gedok Gemenceh di Negeri Sembilan yang mengusahakan industri rendang maman mencatatkan peningkatan jualan kepada 77.83 peratus, berbanding 77.80 peratus sebelum ini.
“Di Sabah pula, antara usahawan SDSI yang boleh dijadikan contoh ialah Koperasi Kumpulan Walit Kanibongan Berhad (KOLUWA) yang mengusahakan industri sarang burung walit dan mencatatkan peningkatan purata jualan tahunan sebanyak 33.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Showcase Satu Daerah Satu Industri peringkat Wilayah Borneo Tahun 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Datuk Thomas Logijin.
Ewon turut menjelaskan, sehingga tahun 2024, terdapat seramai 138 usahawan SDSI di Sabah yang terlibat secara aktif dalam pelbagai industri tempatan yang mempunyai identiti unik mengikut daerah masing-masing.
Katanya, kementerian sentiasa berusaha memastikan kelangsungan SDSI dengan melakukan penambahbaikan agar kekal relevan dengan situasi semasa.
“Kita telah memperhalusi kekangan serta cadangan penambahbaikan melalui libat urus bersama pihak berkepentingan di peringkat negeri dan persekutuan, dan ia telah dipersetujui Jemaah Menteri tahun lalu.
“Hasilnya, kita dokumenkan semula penambahbaikan ini sebagai Garis Panduan Pelaksanaan Program SDSI 2.0,” katanya.
Antara penambahbaikan utama ialah menggalakkan usahawan SDSI beroperasi secara koperasi bagi memperkukuh penglibatan komuniti secara berkelompok.
Selain itu, penyertaan SDSI kini dicadangkan terbuka kepada semua usahawan tanpa had nilai jualan, manakala peningkatan jualan sebanyak 20 peratus dijadikan penanda aras kepada pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI).
Bagi Showcase SDSI Wilayah Borneo Tahun 2025, seramai 158 usahawan dari pelbagai sektor telah dijemput menyertainya.