Kota Belud: Kerajaan Sabah mensasarkan untuk mencapai Tahap Sara Diri (SSL) makanan sebanyak 30 peratus menjelang tahun depan dan 60 peratus pada tahun 2030 menerusi penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan melalui penghidupan semula LPBS bagi memastikan keterjaminan makanan Sabah, memenuhi permintaan makanan rakyat dan mengurangkan kebergantungan kepada import beras.
“Pada masa ini Sabah hanya mampu mengeluarkan kira-kira 22.8 peratus beras tempatan menyebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap bekalan beras sumber import bagi memenuhi permintaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, LPBS akan mengambil alih semua pembangunan dan pengurusan tanaman padi daripada Jabatan Pertanian Negeri bermula tahun ini.
“Selain itu, LPBS juga diberi tanggungjawab sebagai badan pengawal selia pembangunan dan pengurusan padi. Oleh itu, saya mahu semua agensi negeri yang berkaitan memberikan kerjasama penuh kepada LPBS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran LPBS dan Skim Takaful Penanaman Padi (STTP) Agrobank di Dewan Terbuka Datuk Musbah Jamli di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata, bagi meningkatkan SSL, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengurusan tanaman padi di enam daerah, iaitu Kota Marudu, Tuaran, Tambunan, Keningau, Papar dan Kota Belud.
Katanya, umlah keseluruhan kawasan sawah padi di daerah-daerah ini ialah 22,218.35 hektar atau 55,879 ekar, melibatkan 16,018 penanam padi.
Selain menghidupkan semula LPBS, Hajiji berkata Kerajaan Negeri juga melaksanakan beberapa inisiatif lain, termasuk memberi penekanan kepada penanaman padi bukit.
“Oleh itu, saya menyeru semua pemilik tanah bukit untuk membangunkan tanah mereka dengan penanaman padi bukit berkualiti tinggi. Dianggarkan sebanyak 13,266 hektar atau 32,767 ekar tanah bukit sesuai untuk penanaman padi, melibatkan 15,617 petani,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, sekiranya dibangunkan sepenuhnya, kawasan ini berpotensi menghasilkan 30,424 tan metrik padi bukit setahun.
Seperti Sarawak yang terkenal dengan beras Bario, Sabah juga mempunyai varieti padi bukit tersendiri iaitu beras Adan dari Long Pasia, Sipitang, selain dari Ranau, Kudat dan Pitas yang semakin terkenal dalam pasaran tempatan, katanya.
Hajiji turut menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya membangunkan tanah terbiar mereka untuk penanaman padi.
“Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tetap komited untuk membangunkan tanah-tanah sawah padi terbiar dan meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan,” katanya.
Hajiji turut menggesa para petani agar mengambil manfaat daripada Skim Takaful Penanaman Padi, iaitu satu skim perlindungan insurans untuk melindungi penanam padi di negara ini.
Di bawah skim ini, penanam padi yang merupakan warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, bertani di kawasan yang ditetapkan serta berdaftar di bawah Skim Baja Kerajaan Persekutuan dan mempunyai akaun Agrobank, akan dilindungi bagi kerosakan tanaman mereka akibat bencana alam, serangan perosak dan penyakit. – SABAH MEDIA